Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Menahan lapar dan dahaga sehingga 13 jam ketika berpuasa dalam cuaca yang tidak menentu pasti membuatkan tubuh badan kurang cecair atau dehidrasi. Dalam keadaan normal, jumlah cecair yang hilang dari tubuh setiap hari antara 1,000 hingga 4,500 mililiter.

Ini termasuk buang air kecil dan berpeluh. Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM) dan Pusat Pakar UKM (UKMSC), Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali berkata, dehidrasi ketika Ramadan adalah perkara biasa yang berlaku kepada orang ramai.

“Dehidrasi berlaku apabila cecair tubuh hilang secara berlebihan di mana kehilangan cecair ini melebihi cecair yang masuk ke dalam badan manusia mengakibatkan fisiologi tubuh gagal berfungsi seperti biasa.

“Badan kita mengandungi kira-kira 60 peratus kandungan air yang perlu diganti semula ketika waktu berbuka bagi memproses semula organ badan seperti buah pinggang, paru-paru, jantung, hati dan usus.

“Sebab itu minum air masak lapan gelas sehari adalah penting bukan hanya ketika hari biasa tetapi juga Ramadan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurut Raja Affendi, antara simptom dehidrasi yang biasa dilihat ialah lesu, kurang konsentrasi, cepat letih, bibir dan kulit kering, sakit kepala dan sendi.

“Itu belum termasuk ketika buang air kecil, air besar dan berpeluh yang secara tidak langsung turut mengeluarkan cecair daripada badan.

“Sebab itu, penting ketika berbuka puasa mesti mengambil sekurang-kurangnya dua gelas air masak manakala selebihnya ambil selepas tamat solat Tarawih dan ketika bersahur,” katanya.

Selain memperbanyakkan mengambil air masak, Raja Affendi mengalakkan orang ramai mengambil makanan mengandungi air tinggi seperti buah-buahan.

“Tembikai, salad dan timun mengandungi 90 peratus cecair. Bagi mengelak mengambil air manis dalam kuantiti yang banyak, ambil buah-buahan pada awal waktu berbuka dan banyakkan minum air masak.

“Bukan tidak boleh mengambil air manis, tetapi dalam kuantiti yang tidak berlebih-lebihan hingga boleh memudaratkan seperti meningkatkan risiko kencing manis dan obesiti,” katanya.

Kata Raja Affendi makan berpandukan piramid makanan paling disyorkan kerana ia lebih seimbang dan sihat. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil minuman mengandungi kafein yang berlebihan ketika Ramadan kerana lebih meningkatkan risiko dehidrasi.

“Kita faham ketika Ramadan, nafsu makan sangat tinggi selepas seharian menahan lapar dan dahaga. Nafsu lebih memuncak apabila tiba di bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai sajian enak, ditambah pelbagai jenis minuman manis yang seakan-akan ‘melambai’ kita untuk dibeli. Kita bukan menghalang cuma sebelum beli harus beringat.

“Apapun biar kita berbelanja dan berbuka puasa dalam keadaan sederhana dan tidak berlebih-lebihan serta membazir,” katanya.

Tip elak dehidrasi ketika puasa

Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air dalam sehari. Ketika berpuasa, kita sering gagal mencukupkan kuantiti air yang diperlukan kerana kita hanya boleh minum pada waktu malam. Keesokan harinya, badan akan berasa lesu akibat kekurangan air.

Bagaimana memastikan badan mendapat keperluan air mencukupi sepanjang tempoh berpuasa?

- Fiber akan membantu badan berasa kenyang lebih lama. Di samping itu, fiber akan membantu badan mencerna air dengan lebih lambat dan perlahan-lahan. Makan banyak fiber ketika bersahur. Antara yang boleh diamalkan ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia akan mencegah badan daripada kekeringan.

- Apabila tiba-tiba berasa haus, tumpukan minda kepada ibadah puasa yang sedang dijalani. Banyakkan membaca al-Quran, mudah-mudahan perasaan haus akan beransur-ansur hilang.

- Minum air secukupnya ketika berbuka dan bersahur untuk menggantikan cecair badan yang hilang daripada badan.

- Kurangkan makan makanan masin sewaktu bersahur. Makanan masin membuatkan kita lebih haus sewaktu berpuasa

- Ubah cara pengambilan hidangan. Lebihkan minuman dan bukan makanan.

- Minum minuman yang membantu menghilangkan dahaga seperti jus buah atau minuman yogurt. Minuman berkarbonat akan membuatkan kita lebih haus.

- Minum air kosong dengan banyak. Kurangkan teh, kopi dan minuman berkoko.

Sumber: Perihalcantik.blogspot.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:00 AM