Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) menitikberatkan peningkatan tahap pengetahuan kakitangan binaan di negara ini bagi mengurangkan kadar kemalangan di tapak projek.

Presidennya, Matthew Tee berkata, pihaknya berusaha mengurangkan kadar kemalangan di tapak projek dengan menganjurkan Persidangan Keselamatan dan Kesihatan secara tahunan bagi memupuk aspek pentingkan keselamatan.

Katanya, MBAM turut menjalankan kursus penyelia keselamatan tapak (SSS) sebagai langkah untuk menangani masalah kekurangan penyelia keselamatan tapak dalam industri pembinaan di seluruh negara.

“MBAM juga menganjurkan Anugerah MBAM Golden Helmet dan Anugerah MBAM Safety & Health for Site Personnel secara tahunan untuk memupuk kesedaran serta komitmen pengurusan dalam memperkasakan aspek keselamatan di tapak pembinaan.

“Namun, tidak dinafikan buruh tidak terlatih juga menyumbang kepada kecelakaan di tapak projek. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu majikan mula menitikberatkan aspek keselamatan di tapak projek mereka,” katanya kepada Bisnes Metro.

Tee berkata, undang-undang yang ada mencukupi bagi menangani masalah ini, malah dengan adanya CIDB Amendment Act 2011 yang diwartakan pada 1 Jun 2015, industri pembinaan kini teliti menjalankan projek mereka.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan kerajaan memberi insentif dalam bentuk kewangan atau menurunkan duti jentera import kerana kebanyakan mesin digunakan dalam industri pembinaan sekarang ketinggalan zaman dan mungkin terlalu lama digunakan dalam persekitaran mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:03 AM