Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi menyempurnakan majlis perasmian tapak pembinaan Kompleks Nasyrul Quran iaitu pusat pencetakan dan pengeluaran Al-Quran kedua terbesar di dunia di Presint 14, di sini.

Projek pembangunan bernilai RM60 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas dua hektar membabitkan pembinaan bangunan, mesin cetak dan mesin jilid di mana ia dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2016.

Pengumuman pembinaan kompleks berkenaan dibuat Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2015 di mana ia akan dibangunkan bersama dengan kerjasama Yayasan Restu.

Pembangunan kompleks itu turut disokong oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Ia dibangunkan dalam dua fasa iaitu pembinaan kawasan kilang, tempat mesin percetakan dan jentera selain pembinaan pejabat pentadbiran; bilik mesyuarat; dewan ruangan utama; pusat latihan kemahiran dan galeri pameran serta surau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 6:30 PM