Penumpang berkumpul di Lapangan Terbang s Ngurah Rai di Denpasar, Bali, menunggu maklumat selepas banyak penerbangan dibatalkan. - Foto AFP

Jakarta: Letusan gunung berapi di Pulau Jawa, Indonesia, menyebabkan lima lapangan terbang ditutup hari ini, kerana bimbangkan risiko debu gunung berapi kepada pesawat.

Gunung Raung di Jawa Timur, kira-kira 150 kilometer dari lapangan terbang antarabangsa di Bali, melepaskan debu dan asap setinggi 3,800 meter di udara.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia Julius Adravida Barata berkata, kementerian itu sudah mengeluarkan notis kepada semua syarikat penerbangan supaya mengelak laluan berhampiran gunung itu.

Lapangan terbang yang ditutup ialah dua di Bali, Lombok, Banyuwangi dan Jember menyebabkan ribuan orang, termasuk pelancong, terkandas.

Banyak penerbangan antara Australia dan Bali oleh Jetstar dan Virgin Australia dibatalkan berikutan kejadian itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 5:07 PM