S Muniandy dihukum gantung kerana edar dadah. FOTO Supian Ahmad
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang ceti dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

Tertuduh, S Muniandy,33, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, juga didenda sebanyak RM70,000 atau dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan keempat kerana memiliki dadah jenis ketamin.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh yang mempunyai dua anak didakwa mengedar dadah jenis methampetamin seberat 336.5 gram, heroin seberat 504.17 gram dan Monoacetylmorphines seberat 212.03 gram.

Bagi tiga pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Pertuduhan keempat pula, dia didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 3.92 gram dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam rumah nombor Blok C-1-3 (Condo), Jalan Impiana 2, Taman Meru Impiana di sini, pada 4.45 petang, 22 Oktober 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk P M Nagarajan dan Mohd Izhar Ahmad Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 1:08 PM