PERKARA perlu anda lakukan untuk jimat kos perbelanjaan ketika Ramadan.

Tidak semestinya kurang perbelanjaan makan pada bulan puasa buatkan kita mampu simpan duit poket, ada sesetengah orang terlebih bajet ketika Ramadan. SHUHADA MANSOR kongsi beberapa langkah Gen Y untuk jimat duit sepanjang Ramadan.

Sepanjang Ramadan, pasti kita mudah kelabu mata dengan pelbagai jenis juadah di bazar sevwhingga kepada barangan kelengkapan menyambut Aidilfitri.

Meskipun ada berpendapat, Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita kurangkan perbelanjaan berbanding bulan lain tetapi itu hanya ‘cakap kosong’ kerana tidak ramai mampu melakukan­nya.

PANGGILAN ‘BAZAR’

Mustahil untuk kita menolak jika diajak ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka. Pelbagai jenis kuih tradisional dan juadah lain seolah-olah ‘memanggil’ kita untuk pergi.

Bagi Gen Y yang tinggal jauh dari kampung, ini masa sesuai untuk kita penuhi selera dengan juadah kegemaran seperti di kampung.

Faktor makanan yang mahal ditolak ke tepi memandangkan apa yang kita fikirkan hanya untuk memenuhi selera berbuka.

Hal ini tanpa kita sedari membuatkan kita belanja berlebihan. Contoh terbaik untuk kita kurangkan perbelanjaan adalah dengan membawa duit secukupnya atau hadkan beberapa jumlah wang untuk membeli makanan. Sebagai contoh, sediakan cuma RM7 untuk membeli juadah seperti nasi dan selebihnya dibelanjakan untuk kuih.

KONGSI MAKANAN

Berkongsi makanan adalah cara terbaik untuk kita kurangkan bajet. Penulis percaya, ramai pelajar yang praktikkan cara ini memandangkan anda tidak mempunyai pendapatan tetap. Duit perbelanjaan bulanan perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan duit poket kering lebih awal dari waktu sepatutnya.

Beli juadah atau kongsi wang dengan beberapa rakan untuk membeli makanan yang anda inginkan. Dengan cara ini, anda boleh pelbagaikan menu selain mengurangkan belanja.

APA KATA GEN-Y

Nazhan Nazhar, 20

“Saya ada beberapa cara untuk kurangkan perbelanjaan harian sepanjang Ramadan. Saya akan masak dan kongsi makanan dengan rakan serumah. Untuk beli barangan masak tak terlalu mahal, jadi kami kongsi beramai-ramai dan dapat kurangkan duit poket bab makanan.

“Waktu sahur pula saya makan makanan ringkas berbanding makanan berat. Kurma, madu dan susu antara minuman dan makanan saya pilih untuk bersahur. Jadi di situ, saya dah boleh kurangkan bajet makan,” katanya.

Ahmad Danial Zilikram Alhazmi Ahmad Rosnee, 20

“Saya percaya, langkah kongsi makanan jalan terbaik terutama bagi saya sebagai pelajar. Nasib baik saya dapat rakan serumah yang tak kisah, jadi kami lebih suka beli barang dan masak bersama.

“Konsep masak sendiri ataupun kongsi membeli makanan luar seperti kuih memang antara jalan terbaik untuk jimat belanja. Ada kalanya kami hanya masak nasi dan beli lauk di luar. Kalau juadah tak habis, saya akan simpan dan panaskan untuk sahur. Tak perlu nak masak atau beli di luar lagi.” katanya.

Puteri Nur Amira Addlan, 21

“Memandangkan bulan puasa buatkan kita tidak makan waktu siang, saya ambil langkah ini untuk berjimat. Selalunya waktu bulan lain, saya akan belanjakan RM15 hingga RM20 sehari bermula makan pagi sehingga malam. Tapi sepanjang Ramadan, saya dapat kurangkan duit makan RM10 sehari.

“Untuk berbuka, saya akan hadkan membeli juadah dengan bajet RM10 saja. Ada ketika ikutkan nafsu, saya habiskan RM10 di bazar, ada waktu saya cuma belanja RM7 untuk beli makanan berat dan kuih.

“Waktu sahur saya kurang makan makanan berat. Bijiran seperti oat, susu dan apa saja makanan yang boleh beri saya tenaga untuk buat rutin seharian, saya ambil untuk gantikan nasi. Jadi, cara berjimat ini memang menjadi untuk saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 11:02 AM