AKSI pelumba kelas SuperSports 600cc di Litar Suzuka, Jepun.

Kuala Lumpur: Buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun, Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) kembali ke Thailand apabila litar yang baru dibina, Litar Antarabangsa Chang (CIC) menjadi tuan rumah bagi saingan pusingan kelima ARRC hujung minggu ini.

Kali terakhir kontinjen ARRC bertandang ke Thailand pada 2000, ketika kelas SuperSports 600cc mula diperkenalkan ketika itu.

Terletak 410 kilometer di bahagian timur laut Bangkok, pusingan kedua terakhir dari enam pusingan kejuaraan di CIC bakal memberi cabaran baru kepada pelumba yang beraksi dalam kelas SuperSports 600cc, Underbone 130cc dan juga Asia Dream Cup (ADC).

Dengan 50 mata maksimum menanti dalam dua perlumbaan, saingan di litar CIC mampu membawa perubahan kedudukan pelumba ketika ini dengan pendahulu SuperSports 600cc, Katsuaki Fujiwara (Manual Tech Beet Kawasaki) mendahului kedudukan dengan kelebihan 33 mata berbanding Mohd Zamri Baba (Musashi Boon Siew Honda) kedua manakala hanya 16 mata membezakan Gupita Kresna dan Norizman Ismail dalam kelas Underbone 130cc.

Hanya pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi dalam kategori ADC mampu bergelar juara keseluruhan tanpa menunggu pusingan terakhir memandangkan pelumba 16 tahun itu mendahului kedudukan dengan 195 mata hasil tujuh gelaran juara dari lapan perlumbaan lalu, 69 mata meninggalkan Teppei Nagoe dari Jepun di tempat kedua.

“Thailand mempunyai sejarah panjang bersama ARRC, sejak era perlumbaan 250cc lagi. Meskipun tidak lagi menjadi tuan rumah sejak sekian lama, Thailand sentiasa memberikan sokongan kuat kepada kejuaraan ini. Mereka juga sudah melahirkan juara SuperSports Asia, Decha Kraisart dan Chalermpol Polamai dan ramai juga pelumba mereka beraksi di pentas antarabangsa,” kata Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg.

“Kami bangga dapat kembali ke Thailand. Semua pelumba dan pasukan serta penaja teruja dengan venue ini dan kerjasama dari pihak CIC yang berjanji memberikan penganjuran terbaik kepada peminat sukan permotoran tempatan.

“Kami percaya suasana perlumbaan di CIC minggu ini pasti hebat. Malah, difahamkan setakat ini seramai 11,000 penonton sudah membeli tiket menyaksikan perlumbaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:06 AM