NAJIB menyaksikan Ismail (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Haltex Group Mohd Azul Mohd Shah (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat IRDA ke-17 di Bangunan Putra Perdana.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan pihak berkepentingan lain menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan beberapa komponen di bawah Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDP).

MoU disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Memorandum yang ditandatangani adalah IRDA dan Bank Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad dalam promosi pelaburan; IRDA, CMS Consortium Ecotour Sdn Bhd (COMOS) dan Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd dalam mobiliti pintar; IRDA, NEC Asia Pacific Pte Ltd dan Applied Business Technologies (ABT) Sdn Bhd dalam keselamatan awam dan Country Garden Pacific View Sdn Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan Celcom Axiata Berhad dalam industri bandar bestari.

Di samping itu, MoU lain yang ditandatangani untuk inisiatif pembangunan ekosistem Halal di Iskandar Malaysia adalah IRDA, AssureQuality Ltd dan Haltex Pte Ltd serta IRDA, Biltmore (M) Sdn Bhd dan Haltex Pte Ltd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pegawai Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata, sejak 2006 hingga Jun lalu, IRDA merekodkan jumlah pelaburan komited kumulatif sebanyak RM172.51 bilion, dan daripada jumlah itu sebanyak 40 peratus atau RM87.80 bilion mewakili pelaburan yang sudah direalisasikan.

“Dari Januari hingga Jun lalu, Iskandar Malaysia sudah menerima jumlah pelaburan komited kumulatif sebanyak RM14.38 bilion.

“Sehingga kini, pelabur tempatan menyumbang RM105.03 bilion atau 61 peratus kepada pelaburan berkenaan, sementara bakinya sebanyak RM67.48 bilion atau 39 peratus disumbang oleh pelabur asing,” katanya dalam kenyataan selepas majlis MoU berkenaan di sini, semalam.

Ismail berkata, pencapaian itu menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur terhadap Iskandar Malaysia semakin berkembang memandangkan ia bergerak ke arah matlamat pembangunan jangka panjang.

“Iskandar Malaysia juga terus memberi penekanan terhadap pembangunan mampan meliputi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar; selain memainkan peranan untuk menyumbang kepada pencapaian berpendapatan tinggi dan negara maju selaras dengan objektif yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 9:47 AM