Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Bulan lalu namanya bergema di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila dinobatkan sebagai johan hafazan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57.

Minggu lalu, Farihah Zulkifli, 20, terus membuktikan bakat dan kebolehannya apabila sekali lagi dinobatkan sebagai johan Musabaqah Menghafaz al-Quran Peringkat Negara Anggota MABIMS bagi kategori Menghafaz 30 Juzuk al-Quran dan Pemahaman Juzuk 20 di Brunei.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu sebenarnya bukan saja hebat di pentas tilawah al-Quran di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Malah, gadis kelahiran Selayang, Selangor ini mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kerana mampu menguasai ilmu al-Quran dengan baik.

Apa yang membanggakan, anak kepada Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan ini meskipun bukan daripada keluarga yang berlatar belakang menghafaz al-Quran, dia yang didorong ibu bapanya untuk memasuki sekolah tahfiz pada usia tujuh tahun di Maahad Tahfiz Al-Quran Al Itqan di Ampang, Selangor berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran ketika menginjak usia 13 tahun.

Yang pasti, sebelum bergelar johan hafazan baik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, penuntut tahun akhir Diploma Hadis, Darul Quran kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kuala Kubu Baru, Selangor ini sebenarnya sudah berjinak-jinak dengan ilmu penguasaan al-Quran sejak berusia empat tahun.

Justeru, tidak hairanlah pada usianya 12 tahun, Farihah sudah mula menyertai pertandingan hafazan di peringkat sekolah dan daerah, seterusnya ke peringkat kebangsaan.

Selain itu, katanya, pada usia itu juga dia mendengar dan mempelajari sendiri tarannum melalui video, cakera padat dan kaset sebelum mula mendalami dan mempelajarinya melalui guru yang mahir dalam bidang itu.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip dan niat untuk menyertai pertandingan hafazan al-Quran bukan untuk menjadi johan atau naib johan tapi niat saya untuk melakukan yang terbaik ketika berlangsungnya acara itu.

“Alhamdulillah, saya mula memasuki pertandingan tilawah al-Quran dianjurkan Petronas pada 2008 hingga 2010 dan menjadi johan selama tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, Farihah berkata, ia menjadi pembakar semangat untuknya meraih kejayaan lebih besar. Ini dibuktikan dengan merangkul gelaran naib johan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan 1-5 juzuk pada 2009 manakala johan bagi hafazan peringkat kebangsaan 1-10 juzuk pada 2010 dan 2011 (1-20 juzuk).

Pada 2013, Farihah sekali lagi merangkul gelaran naib johan hafazan peringkat kebangsaan (1-30 juzuk) sebelum merangkul gelaran johan bagi kategori sama tahun ini.

Farihah yang pernah mewakili negara pada peringkat antarabangsa di Jordan pada 2013 turut merangkul gelaran johan (1-30 juzuk) ketika menyertai Musabaqah Hafazan Terbuka Arab Saudi, baru-baru ini.

Mengakui pernah berasa putus asa ketika mula menghafaz, Farihah berkata, kejayaan yang diraih pada hari ini adalah hasil ketegasan dan berkat doa ibu bapanya.

Jika bukan kerana mereka, mana mungkin dia boleh berada di tahap sekarang dan terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam kehidupan.

“Pada mulanya saya memang tidak berminat langsung ke sekolah tahfiz kerana merasakan pembelajarannya begitu sukar. Tetapi lama-kelamaan saya berjaya menyesuaikan diri apatah lagi dengan suasana di sekolah ini yang semua pelajarnya berlumba-luma menghafaz. Jadi semangat itu datang sendiri dan seterusnya menyebabkan saya terus mencintai ilmu al-Quran.

“Justeru, saya merasakan ketegasan dan paksaan ibu bapa saya untuk menjadikan saya hafizah amat berbaloi dengan hasil yang saya peroleh hari ini yang tidak ternilai harganya dan saya amat bersyukur kerana ‘paksaan’ itu,” katanya.

Berhasrat melanjutkan pengajian tertinggi dalam bidang hadis di Jordan selepas tamat pengajian diploma, Farihah menganggap apabila mendekatkan diri dengan al-Quran, ia sebenarnya satu modul yang boleh menjadikan seseorang itu insan yang cemerlang dan mulia.

Katanya, apabila al-Quran tersemat rapi dalam dada, semua perkara menjadi mudah buat seorang Muslim bahkan ilmu yang terkandung di dalam­nya juga diperakui seluruh dunia, selain semakin ramai saintis yang ingin mengkajinya de­ngan lebih mendalam.

“Saya amalkan makanan sunah seperti madu untuk mudah menghafaz, selain bangun solat malam. Menghafaz al-Quran pada awal pagi juga lebih menguatkan daya ingatan.

“Selain itu, tip untuk lebih mudah menghafaz adalah mengelakkan tidur terlalu lewat dan perlu mendapatkan tidur secukupnya. Waktu yang baik adalah sebelum dan selepas Subuh serta antara waktu Maghrib dan Isyak.

“Saya akui mula-mula menghafaz memang agak susah, tapi kita perlu paksa diri dan tidak boleh meletakkan diri dalam zon selesa. Paksaan diri sendiri penting disertai kesungguhan tinggi dan minat mendalam, Insya-Allah tiada apa yang mustahil. Yang selebihnya, kita perlu bergantung harap pada Allah dan doa ibu bapa,” katanya.

Bercita-cita untuk menjadi pakar dalam pengkajian al-Quran, Farihah yang tidak lokek berkongsi ilmu turut menasihatkan mereka yang mahu menghafaz supaya sentiasa istiqamah selain menyediakan jadual dan memperbanyakkan pengulangan untuk mudah mengingat.

Ini kerana katanya, tiada jalan pintas untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara termasuk menghafaz al-Quran, semuanya memerlukan komitmen dan kesungguhan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 6:08 AM