KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 32 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran ladang buah Desaru, Kota Tinggi, petang tadi. FOTO Ahmad Othman
Oleh Ahmad Othman
am@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 32, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berhampiran ladang buah Desaru di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan jam 6.20 petang itu menyebabkan pemandu Honda Civic, Fathullah Mohamad Khair, 24, dari Kampung Baru Sungai Mas, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan turut mengakibatkan pemandu Perodua Viva, Muhammad Nuh Abdullah, 30, dari FELDA Papan Timur meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kota Tinggi.

“Ia dipercayai berlaku apabila Honda Civic dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Perodua Viva yang datang dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dua hala dan mempunyai garisan putus sebagai pembahagi jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 10:28 PM