Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan dan anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba Muar
Oleh Ibrahim Isa
am@hmetro.com.my

Muar: Empat lelaki maut apabila lori bermuatan daging beku dan jagung dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan, sebelum merempuh lori kontena di Kilometer 141 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Pagoh, dekat sini, 5.10 pagi tadi.

Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua pemandu dan kelindan kenderaan berat berkenaan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Pegawai Kanan Bomba II Mohd Johar Tunin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.20 pagi sebelum satu jentera dan kenderaan bantuan kecemasan (ERMS) membabitkan 12 anggota ke tempat kejadian.

"Apabila tiba, kami dapati keempat-empat mangsa maut dan tersepit di tempat duduk masing-masing dengan salah seorang daripada mereka terputus dua di bahagian pinggang.

"Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 9:26 AM