Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

Seremban: “Saya akui keputusan seri dengan SPA Putrajaya ini bukan sesuatu yang memuaskan tapi pemain sudah berusaha dan mencuba yang terbaik, malah banyak peluang jaringan tercipta tetapi mereka gagal memanfaatkannya,” kata penolong jurulatih Negeri Sembilan (NS) Matrix, Mohd Asri Ninggal.

Skuad Hoben Jang Hoben sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan SPA Putrajaya dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin.

Francis Forkey Doe membuka tirai jaringan pada minit ke-39 sebelum disamakan Raja Mohd Hafillah pada minit ke-73.

Menurut Mohd Asri, pihaknya rasa terkilan kerana pemain tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk mencapai kemenangan.

Katanya, biarpun mereka berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan dan berjaya mencipta peluang jaringan, tetapi ia tidak bermakna andai jaringan kemenangan tidak dapat dilakukan.

“Memang kita rasa terkilan dengan keputusan perlawanan malam ini (malam kelmarin), tetapi terpaksa terima hakikat, pemain gagal meledak gol kemenangan biarpun banyak peluang yang diperoleh.

“Bagaimanapun, satu mata juga tetap penting untuk membantu pasukan kekal dalam kedudukan terbaik bagi meneruskan cabaran,” katanya selepas perlawanan kelmarin.

Menurutnya, dia dengan ketua jurulatih K Devan akan menilai kembali kekuatan dan kelemahan pasukan sepanjang dua minggu rehat sempena musim perayaan Aidilfitri sebelum turun kembali ke gelanggang selepas hari raya puasa nanti.

“Kita akan menggunakan kesempatan sepanjang tempoh rehat untuk menilai kelemahan pasukan supaya persembahan lebih baik dapat dipamerkan pada baki saingan liga.

“Secara peribadi, kedudukan pasukan dalam carta liga ketika ini kurang memuaskan dan kita perlu kembali memberikan persembahan terbaik serta mencatat kemenangan untuk memastikan dapat terus bersaing memburu tempat terbaik,” katanya.

Mohd Asri berkata, pihaknya yakin dan percaya skuad bimbingannya itu bakal mempamerkan kebangkitan pada perlawanan akan datang dan seterusnya mencatat kemenangan.

Menurutnya, fokusnya ketika ini adalah untuk memastikan NS Matrix mampu berada sekurang-kurangnya di tempat keempat terbaik carta bagi memastikan peluang beraksi dalam kempen Piala Malaysia tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:44 AM