DALAM sahur ada keberkatan untuk mereka yang berpuasa.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Ramadan tahun lalu amat mencabar bagi saya. Mencabar bukan bermaksud perit dan sukarnya saya menunaikan puasa, tetapi pengalaman memujuk dan mendidik anak lelaki yang sulung, Ahmad Fauwaz supaya sama-sama berpuasa.

Syukur, dia dapat juga menahan lapar dan dahaga sepanjang hari hingga tiba waktu berbuka.

Pasal merungut lapar dan dahaga, jangan cakaplah. Sekejap sebut lapar, sekejap minta izin nak minum kerana tidak tahan dahaga.

Mungkin itu jugalah kerenah dan cabaran ibu bapa lain dalam mendidik anak pada Ramadan ini.

Namun, tugas dan tanggungjawab mendidik anak dalam aspek berpuasa wajib kita tunaikan dengan sebaik-baiknya.

Cabaran rumit untuk ditangani ialah mengajak si anak bersahur. Puas memujuk dengan pelbagai cara. Allah saja yang mengetahuinya betapa sukarnya memujuk anak kecil kita bangun bersahur.

Puas juga saya memberikan penerangan kepadanya untuk ‘memancing’ dia agar tergerak hati bangun bersahur.

Bagi anak yang sebaya anak saya tentulah bersemangat untuk berbuka kerana terlalu lapar dan dahaga, bahkan tanpa disuruh, sudah berada di meja makan. Tetapi apabila waktu bersahur, pastinya berat untuk bangun kerana terlalu mengantuk.

Hal seperti ini biasalah, sedangkan kita orang dewasa juga ada kalanya berasa malas hendak meninggalkan tilam untuk bersahur.

Atas hakikat hendak menghidupkan sunah Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga pada bulan mulia ini, ibu bapa tetap perlu mendidik anak supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan amalan yang ber- kat itu.

Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita menyuburkan amalan Nabi SAW ke dalam jiwa kita dan seluruh anak isteri kita.

Kita perlu insaf bahawa Rasulullah SAW bukan saja meminta kita bersegera berbuka puasa, tetapi juga supaya melakukan amalan bersahur.

Pada bulan Ramadan yang dijanjikan Allah dengan gan- jaran begitu besar atas setiap amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan, maka menjadi sesuatu yang janggal andai kita tidak mahu bersahur.

Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sabdanya (ertinya): “Yang membezakan kita dengan puasa orang Ahli Kitab ialah sahur.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW juga meninggalkan pesanan sebagaimana dapat difahami: “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada keberkatannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sementara Ibnu Hibban ada meriwayatkan satu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Setiap sahur itu semuanya berkat. Bersahurlah kamu walaupun sekadar meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Antara pengajaran menerusi beberapa hadis itu ialah kita dianjurkan bersahur sebagai lambang yang ibadat puasa kita berbeza dengan golongan Ahli Kitab. Mereka juga berpuasa tapi tanpa sahur.

Dalam sahur itu dilimpahkan keberkatan. Tentunya kita tidak mahu terlepas peluang memperoleh keberkatan Allah.

Justeru, amat beruntunglah seseorang itu yang sepanjang hari puasanya tidak meninggalkan amalan bangun bersahur. Hidupnya pasti dilingkungi berkat daripada Allah SWT.

Pengajaran seterusnya ialah didoakan oleh malaikat. Subhanallah, begitu banyak kelebihan yang Allah sediakan buat mereka yang bersahur. Jadi, dalam menunaikan ibadat puasa yang tinggal seminggu saja lagi, jangan lupa bersahur.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 7:57 AM