Kuala Lumpur: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM), pengedar kenderaan Mercedes-Benz di negara ini menyasarkan pertumbuhan jualan berkembang bersandarkan peningkatan jualan melebihi 50 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roland Folger berkata, MBM mencatat sejarah apabila merekodkan jualan paling tinggi pada setengah tahun pertama dengan mencecah 5,163 unit.

Menurutnya, pertumbuhan itu meningkat sehingga 53 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan hanya mencatatkan jualan 3,366 unit.

“Model kereta kompak menerusi A-Class menerima penguasaan pasaran terbaik dan dijual sehingga 484 unit antara Januari sehingga Jun lalu.

“Bagi model pemasangan tempatan (CKD) membabitkan C-Class, E-Class dan S-Class menunjukkan peningkatan jualan sehingga 3,787 unit dengan pertumbuhan 62 peratus,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Folger berkata, kejayaan dalam tempoh enam bulan pertama itu membuktikan pasaran tempatan mula meminati kenderaan jenama Mercedes-Benz, selain pihaknya memberi tumpuan terbaik berhubung kepada kualiti serta perkhidmatan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 6:52 AM