Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beri masa 14 hari bermula hari ini kepada Wall Street Journal (WSJ) untuk mengesahkan laporan mereka berhubung dakwaan terhadap Perdana Menteri menyalahguna wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari dana 1MDB, sebelum tindakan undang-undang diambil.

Melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Najib atas kapasiti peribadi mengemukakan surat tuntutan itu terhadap Lembaga Pengarah WSJ, Dow Jones & Company yang beribu pejabat di New York.

Berdasarkan kenyataan media oleh peguam Wan Azmir Wan Majid, surat pengesahan itu bukan tindakan undang-undang tetapi ia bagi mendapatkan pengesahan berhubung pihak dan individu yang bertanggungjawab dalam artikel yang dikeluarkan oleh WSJ pada 3 Julai lalu.

"Kami diminta untuk mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penulisan, pengedaran dan penerbitan artikel itu. Ia bagi membolehkan pihak kami menamakan individu yang betul dalam tindakan undang-undang yang akan diambil nanti.

"Maklumat yang diperoleh juga akan menentukan sama ada tindakan undang-undang terhadap WSJ dibuat secara bersama atau terhadap 'rakan subahat' yang dinamakan di dalam artikel itu," katanya.

Syarikat yang didakwa mempunyai kaitan adalah International Petroleum Investment Co, Tanore Finance Corp, SRC International Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

WSJ melalui artikel yang bertajuk 'Malaysia Leader's Account Probed' pada 2 Julai lalu didakwa mengesan wang sebanyak AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik perdana menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 2:35 PM