KEPULAN asap memenuhi ruang angkasa Sanaa berikutan serangan udara yang diketuai Arab Saudi, menyasarkan depoh senjata berhampiran lapangan terbang tentera di bandar raya itu, semalam.
Reuters

Sanaa: Serangan udara tentera pakatan Arab dan pertempuran antara kumpulan bertelagah di Yaman semalam mengakibatkan seramai 176 orang, termasuk orang awam, terbunuh.

Agensi berita Saba melaporkan seramai 63 penduduk terbunuh selepas pesawat tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi membedil beberapa lokasi di wilayah Amran di utara Yaman.

Menurut agensi itu, daripada jumlah itu, seramai 30 orang terbunuh selepas sebuah jet pejuang menyerang sebuah pasar di wilayah berkenaan.

Di wilayah yang sama, 20 pejuang dan orang awam terbunuh dalam satu pertempuran berhampiran pusat pemeriksaan pemberontak Houthi di bandar Amran.

Sekurangnya 60 orang pula terbunuh apabila jet tentera pakatan Arab mengebom sebuah pasar ternakan di bandar al-Foyoush, selatan Yaman.

Juga di selatan, penduduk melaporkan seramai 30 terbunuh apabila pejuang prokerajaan menyerang pusat pemeriksaan pemberontak Houthi di jalan utama antara Aden dan Lahj.

Penduduk memberitahu, seramai 10 pemberontak Houthi maut dalam serangan berkenaan.

Sumber puak yang tinggal di tengah gurun di wilayah Marib berkata, 20 pemberontak Houthi dan tentera yang berpaling tadah terbunuh dalam serangan udara tentera pakatan Arab serta pertempuran dengan pejuang prokerajaan.

Angka korban akibat serangan udara itu adalah yang paling tinggi dalam sehari sejak tentera pakatan Arab melancarkan kempen memerangi pemberontak Houthi tiga bulan lalu.

Militan Houthi yang berfahaman Syiah menentang kerajaan Presiden Abed Rabbu Mansour Hadi yang didakwa rasuah dan salah guna kuasa.

Pejuang tempatan yang prokerajaan pula melancarkan tentangan terhadap Houthi yang didakwa cuba menjajah mereka.

Tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara bagi mengembalikan kuasa Abed Rabbu yang dipilih rakyat secara sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 10:19 AM