ANTARA ribuan rumah dan puluhan masjid di Gaza yang dimusnahkan Israel dalam konflik tahun lalu.
SEORANG gadis Palestin bermain buaian di pintu masuk rumah keluarganya Gaza.
GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki Palestin menanti pertolongan sementara beberapa rakannyaterbunuh dalam serangan Israel di kejiranan Shijaiyah, tahun lalu.
KANAK-KANAK Palestin bermain di celah runtuhan bangunan, hampir setahun selepas sengketa bersenjata Israel-Gaza 2014 berakhir.

Pada 8 Julai 2014, Israel memulakan serangan udara ke atas Gaza yang dinamakannya Operasi ‘Protective Edge.’

Serangan tanpa peri kemanusiaan itu adalah susulan kepada ketegangan selama beberapa minggu, bermula dengan penculikan tiga remaja Yahudi oleh beberapa penduduk Palestin.

Sepanjang tujuh minggu berikutnya, serangan udara dan pencerobohan darat tentera Israel serta bedilan roket Palestin menyebabkan 2,200 orang terbunuh, kebanyakannya penduduk awam Gaza.

Daripada jumlah itu, 73 rakyat Israel, majoritinya askar, juga maut.

Dalam laporannya minggu lalu Majlis Hak Asasi Manusia PBB merumuskan Hamas dan Israel boleh didapati bersalah melakukan jenayah perang sepanjang peperangan itu.

Menurutnya, keganasan yang dilakukan Israel lebih teruk, membabitkan peringkat paling tinggi institusi politik dan tenteranya,

Israel, seperti dijangkkan hasil siasatannya sendiri yang mendapati tenteranya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam membunuh hampir 2,000 penduduk awam Palestin.

Kekejaman paling nyata yang dibangkitkan dalam laporan itu ialah serangan tentera Israel yang meragut nyawa empat kanak-kanak Palestin ketika mereka bermain di pantai.

Gesaan PBB supaya Israel bertindak terhadap tenteranya yang terbabit dalam serangan berkenaan tidak diendahkan.

Perang itu bermula pada Ramadan ketika penduduk Gaza berpuasa. Serangan disasarkan terhadap kawasan kediaman dan sebelah petang ketika penduduk berkumpul bersama keluarga untuk berbuka.

Israel yang tidak memberi kerjasama kepada siasatan PBB, enggan mengulas mengenai kedua-dua peristiwa itu.

Perkembangan selepas perang itu sama dengan konflik bersenjata sebelum ini.

Dengan kepungan yang dikuatkuasakan Israel, ti­ada pembinaan semula dapat dilakukan.

Pada September 2014, tidak lama selepas Perang 50 Hari itu berakhir, seorang pegawai PBB berkata, bahan binaan yang akan memasuki Gaza perlu ditingkatkan empat kali ganda dan PBB akan menyelia proses itu.

Ini tidak menjadi kenyataan. Penderma antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah berikrar menyumbang berbillion dolar untuk membina semula Gaza.

Namun, hanya jumlah kecil wang berkenaan diserahkan dan hanya satu peratus bahan binaan yang diperlukan masuk ke wilayah Palestin itu. Mekanism yang sepatutnya membolehkan penghantaran bahan itu tidak berfungsi.

Ia menyebab­kan puluhan ribu penduduk Gaza masih tidak be­‑­rumah. Pada hujung Februari, seorang pegawai PBB berkata, empat bayi mati akibat kesejukan di Gaza pada Januari.

Bekalan elektrik hanya dibekalkan empat jam sehari. Sistem penjagaan kesihatan Gaza juga musnah: 17 hospital, 56 klinik kesihatan, 45 ambulans rosak atau musnah dalam perang itu,

Pada Mac, sekumpulan 30 agensi bantuan, termasuk Save the Children and Action Aid menandatangani memorandum menyuarakan rasa kesal terhadap kelewatan pembangunan semula Gaza.

“Israel selaku kuasa penjajah di wilayah ini sepatutnya memenuhi tang­gungjawabnya, selaras dengan undang-undang antarabangsa. Ia perlu menarik balik kepungan seperti terkandung dalam Ketetapan 1860 (2009) Majlis Keselamatan PBB,” kata mereka dalam surat itu.

Surat berkenaan juga menyatakan rasa kesal terhadap sengketa politik di wilayah Palestin perebutan kuasa antara Hamas dengan Pihak Berkuasa Palestin sehingga menghalang penghantaran bantuan.

Israel mengambil kesempatan dengan mendakwa Hamas mengalihkan bantuan berkenaan untuk membina semula kekuatan tenteranya.

Gaza menyaksikan tiga konflik besar sepanjang tujuh tahun lalu dan tidak ada alasan ia akan me­nyaksikan satu lagi dalam masa beberapa bulan atau tahun akan datang.

Perjanjian damai yang rapuh itu sedikit sebanyak berjaya bertahan, tetapi ketegangan dan permusuhan antara kedua-dua pihak tetap wujud.

Pada Ramadan ini, penduduk Gaza berpuasa di celah kemusnahan yang berlaku tahun lalu. Kesukaran menjalani kehidupan seharian dalam keadaan seperti itu, jika berterusan untuk beberapa tahun akan datang hanya akan menyebabkan lebih banyak keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 12:12 PM