PENYAMPAI radio iM4U fm Tyler Lim (kiri) turut bersama sukarelawan dalam aktiviti dianjurkan.
SUKARELAWAN iM4U diberi penerangan oleh ahli PEWANIS cara menanam anak pokok bakau.
ANTARA anak penyu sebelum dilepaskan ke laut oleh sukarelawan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Tidak lengkap sambutan Hari Alam Sekitar Dunia (WED) jika tidak diisi dengan program bermanfaat untuk memberi kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam.

Sehubungan itu, iM4U dan iM4U fm, peneraju komuniti belia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tabung Alam (WWF)-Malaysia baru-baru ini menganjurkan program ‘Serve2Conserve’ (Berkhidmat untuk Memulihara) di Pantai Penarik, Terengganu.

Program berkenaan diadakan bagi memupuk kesedaran kepentingan pemuliharaan penyu serta mempromosi Setiu sebagai lokasi pelancongan ‘voluntourism’, di mana pelancong boleh turut serta dalam kerja sukarelawan.

Diadakan sempena sambutan sejagat WED, program selama tiga hari itu disertai lebih 40 sukarelawan iM4U yang membersihkan pantai termasuk pusat penetasan penyu.

Ketua Pegawai Operasi iM4U Rudy Malik berkata, sambil menikmati pemandangan indah Pantai Menarik, sukarelawan juga berpeluang menyertai aktiviti menanam semula anak pokok bakau.

“Menyedari potensi ekopelancongan Setiu dengan ciri tanah bencah atau paya bakau yang unik, Serve2Conserve berhasrat menggalakkan lagi kesedaran awam mengenai pentingnya memulihara habitat penyu melalui program voluntourism.

“Selain itu, inisiatif ini bertujuan menyemai semangat kesukarelawanan dan kerjasama masyarakat tempatan serta mengukuhkan elemen pelancongan sukarelawan khususnya bagi pelancong dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran untuk WWF-Malaysia Yeap Chong Wei berkata, pihaknya memandang serius ancaman terhadap penyu di negara ini. Malah, WWF-Malaysia turut berkongsi beberapa fakta penting mengenai penyu yang masih ada di negara ini iaitu spesies penyu hijau, kawasan ia bertelur dan kitaran hidupnya.

“Selain usaha pemuliharaan penyu, WWF-Malaysia juga melaksanakan kerja perlindungan hutan bakau di Tanah Bencah Setiu, suatu tapak nurseri penting untuk hidupan laut. Kami mengucapkan terima kasih kepada iM4U dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerana mewujudkan kesedaran awam betapa pentingnya usaha pemuliharaan di Setiu. Kami menggalakkan rakyat mengunjungi laman web kami untuk membantu melindungi Tanah Bencah Setiu,” katanya.

Dengan tema ‘Tujuh Bilion Impian, Satu Planet, Guna dengan Berhati-hati’ sambutan WED tahun ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan manusia, alam sekitar sekali gus pengurusan ekonomi sumber semula jadi secara bertanggungjawab.

Aktiviti Serve2Conserve yang berlangsung dari 29 Mei hingga 31 Mei lalu juga dijalankan satu daripada rakan kongsinya iaitu Persatuan Wanita Kampung Mangkok Setiu (PEWANIS) yang turut berkongsi kepakaran mereka dalam menerajui aktiviti impak rendah ekopelancongan.

Selain PEWANIS, masyarakat tempatan turut terbabit dalam usaha pemuliharaan alam anjuran WWF-Malaysia. Antara aktiviti lain termasuk sesi rondaan waktu malam dan lawatan ke pusat penetasan penyu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:32 AM