AZRI bahagia dengan kehadiran anak Salma hasil perkahwinan terdahulu sementara menanti kelahiran zuriat sulung.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Ramai tidak menyangka bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan, Azri, 29, dalam diam menjalin hubungan dengan juara Mentor 5, Salma Asis, 25. Malah, berita pernikahan mereka pada 31 Januari lalu mengejutkan peminat.

Menganggap itu jodoh yang tertulis, Azri dan Salma semakin bahagia melayari alam rumah tangga apatah lagi, penyanyi kelahiran Tawau, Sabah itu kini hamil empat bulan.

Bagi Azri, hidupnya lebih sempurna dengan adanya Salma.

“Kehidupan dulu dan sekarang jauh berbeza. Apabila sudah ada keluarga sendiri, jadi lebih meriah. Segalanya terurus kerana sudah ada yang menjaga.

“Tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga lebih besar. Saya tidak boleh lagi hidup seperti zaman bujang,” katanya yang meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Kehadiran anak perempuan Salma hasil perkahwinan terdahulu serta seorang anak angkat melengkapkan lagi kehidupan Azri sementara menanti kelahiran anak sulungnya.

“Selain anak perempuan, Salma ada mengambil anak angkat lelaki yang kini berusia tiga tahun. Itu sebelum kami berkahwin sebab dia tak terfikir akan berkahwin lagi selepas lapan tahun hidup sendiri.

“Alhamdulillah anak-anak boleh terima saya dan sangat manja. Mereka sudah saya anggap seperti anak sendiri,” katanya.

Jelas Azri, dia cukup mengagumi kecekalan hati Salma, malah pengalaman hidup yang dilalui isterinya itu sedikit sebanyak mematangkan dirinya.

“Salma seorang yang berdikari. Selagi boleh buat sendiri, dia akan buat.

“Bukan mudah membesarkan anak seorang diri tetapi dia mampu melaksanakan tanggungjawab itu.

“Banyak yang saya belajar daripada Salma. Bukan saja untuk keluarga tetapi juga diri sendiri,” katanya.

Berkongsi perkembangan Salma, jelas Azri, isterinya masih mengalami alahan.

“Dia alah bau masakan. Buat masa sekarang dia susah nak masak. Kalau teringin, saya akan masak makanan ringkas yang baunya tidak terlalu mengganggu Salma,” katanya.

Selain menyanyi, Azri membabitkan diri dalam bidang lakonan. Namun, sebagai suami ada batas yang diletakkan demi menjaga hati isteri tersayang.

“Saya perlu elakkan babak bersentuhan dan romantis. Walaupun sekadar lakonan, persepsi masyarakat hari ini lain.

“Nyanyian pula, saya akan tampil dengan projek single bersama Kumpulan HyperAct tidak lama lagi. Lagu berjudul Kejora Kembali sudah dirancang awal sebelum saya berkahwin,” katanya.

Tambahnya, Salma kini bertugas di Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai penyanyi kebudayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:13 AM