AKTIVITI berkumpulan di tepi pantai untuk menyuntik semangat bekerjasama antara pelajar.

Bertujuan memberi pendidikan awal kepada generasi muda mengenai kepentingan alam sekitar termasuk pemulihan terumbu karang, F&N SOS mengambil langkah mewujudkan program pindah tanam karang sebagai inisiatif program Selamatkan Laut Kita.

Program itu dipelopori Fraser & Neave Holdings Bhd, Reef Check Malaysia dan Taman Laut Terengganu.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Fraser & Neave Holdings Bhd, Karen Tan berkata, program itu adalah inisiatif tanggung–jawab korporat untuk melindungi dan memulihara alam sekitar.

“Ia bertujuan menyuntik kesedaran kepada generasi muda bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar termasuk terumbu karang.

“Sebagai generasi masa depan, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar perlu dilakukan dengan serius bagi menjamin kelangsungannya pada jangka panjang.

“Justeru program ini diwujudkan dengan pendekatan berasaskan masyarakat bagi mewujudkan kerjasama bersama dengan pelbagai pihak supaya keprihatinan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sepanjang tiga tahun lalu, kakitangan F&N dan rakan niaga sudah menyelam dasar laut untuk melaksanakan inisiatif pemulihan terumbu di Pulau Redang, dalam usaha mengembalikan ekosistem laut sehampir yang boleh kepada keadaan asalnya sebelum diganggu.

Ini membabitkan pengutipan serpihan karang dari tapak penderma dan ‘menanam’ di tapak semaian untuk membolehkannya stabil dan tumbuh sebelum akhirnya dipindahkan ke tapak kekal.

Pasukan F&N SOS turut menganjurkan program sehari bersama dengan 40 pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Redang untuk memberi maklumat mengenai eko sistem laut menerusi aktiviti interaktif menyeronokkan.

Dalam aktiviti dwitahunan ini, pelajar dididik bagaimana mereka boleh memainkan peranan dalam menjaga keselamatan terumbu karang dan hidupan laut menerusi tindakan mesra alam.

“Pelajar adalah duta perubahan dan mereka memerlukan pendedahan dan pendidikan untuk membantu memahami kepentingan disasarkan.

“Jika kita memberi didikan dan pendedahan awal, program seperti ini mampu kekal untuk jangka panjang, sekali gus menjadi agen perubahan minda masyarakat keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 1:17 PM