FATIN Nurfatehah (tengah) bersama Saritha (kiri) dan Norhayati ketika beraksi dalam acara compound berpasukan.

Peluang terbaik kontinjen negara untuk merealisasikan impian meraih emas di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 musnah apabila pemanah compound negara terkandas di separuh akhir semalam.

Trio memanah wanita yang diletakkan harapan kecundang kepada Russia manakala dalam acara individu lelaki Mohd Juwaidi Mazuki terpaksa akur kepada lawan dari Korea Selatan Kim Jongho, juga dalam saingan separuh akhir.

Pada aksi di Pusat Memanah Antarabangsa Gwangju semalam, trio negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Norhayati Al-Madihah Hashim dan Saritha Cham Ning tewas lima mata selepas mengumpul 223 mata.

“Saya tahu ramai yang memberikan harapan kepada acara campound. Kami tidak tertekan namun ini gandingan muka baru. Bagi saya ini adalah pencapaian terbaik kerana tidak pernah melangkah sejauh ini.

“Tidak terkilan kerana kami sendiri sememangnya tidak mensasarkan emas. Ini juga pencapaian paling baik skuad memanah di Universiade,” kata Fatin Nurfatehah yang turut terkandas pada peringkat awal acara individu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 7:26 AM