KEBAKARAN di Jalan Dato Mohamad Musa, Samarahan. FOTO ihsan Bomba
KEBAKARAN di Jalan Dato Mohamad Musa, Samarahan. FOTO ihsan Bomba
KEBAKARAN di Jalan Dato Mohamad Musa, Samarahan. FOTO ihsan Bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menerima 21 panggilan kebakaran terbuka di seluruh negeri sepanjang hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Sibu, Saratok, Bintulu, Samarahan, Tatau, Mukah dan Kuching.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, ketika ini bomba masih menjalankan kerja pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Similajau, Bintulu; Jalan Dato Mohamad Musa, Samarahan dan Kuala Baram, Miri.

Katanya, kebakaran hutan membabitkan lebih 80 hektar di Kuala Baram, Miri sudah 60 peratus dipadamkan.

"Kebakaran hutan di Jalan Dato Mohamad Musa, Samarahan dan Hutan Simpan Similajau, Bintulu masih belum diketahui kerana kerja pemadaman giat dijalankan.

"Baki kebakaran terbuka yang lain hanya membabitkan longgokan rumput, kayu dan belukar dalam keluasan antara 0.5 hingga lapan hektar yang sudah berjaya dipadamkan," katanya ketika dihubungi.

Farhan berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada sikap pekebun kecil yang ambil peluang membakar kawasan kebun masing-masing sebelum merebak ke kawasan yang lebih luas.

Katanya, cuaca kering dan panas menyebabkan api merebak pantas, sekali gus menyukarkan kerja pemadaman.

"Orang ramai diminta bekerjasama supaya tidak melakukan pembakaran terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 10:21 PM