Alzahrin Alias

zahrin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: AirAsia X dijangka mencatatkan pertumbuhan paling pantas dalam penggunaan pesawat berbadan lebar berbanding syarikat penerbangan kos rendah (LCC) jarak jauh global yang lain.

Dalam satu nota, Centre for Aviation (CAPA) berkata, walaupun pertumbuhan purata tahunan kurang daripada 20 peratus, tetapi kapasiti mampu meningkat lebih daripada 20 peratus apabila penggunaan pesawat berbadan lebar dipertimbangkan.

CAPA berkata, pertumbuhan pantasnya itu membolehkan AirAsia X mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan kos rendah terbesar dalam segmen penerbangan jarak jauh atau panjang.

Pesawat berbadan lebar LCC di Asia katanya, bakal meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang terutamanya disokong oleh penambahan pesawat berkenaan oleh AirAsia X.

Syarikat itu menyatakan komitmennya memperoleh 100 pesawat Airbus A330- 900neo bermula pada suku keempat 2018 hingga 2028.

Oleh itu, kumpulan AirAsia X dengan mudah dapat mengekalkan kedudukannya sebagai pengendali LCC terbesar di Asia.

Ia juga membolehkan syarikat penerbangan kos rendah jarak jauh itu berpotensi menguasai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah pesawat berbadan lebar dikendalikan LCC di Asia Pasifik berbanding 34 peratus kini.

Sejumlah 100 pesawat AirAsia X yang dipesan adalah komitmen lebih daripada tiga kali ganda saiz pesawat semasanya dan lebih banyak daripada jumlah pesawat semasa di semua gabungan pengendali LCC Asia Pasifik.

“AirAsia X akan terus menguasai segmen ini kerana pengendali LCC lain di Asia Pasifik sedang meneruskan proses perkembangan yang agak sederhana.

“Daripada menambah pesawat berbadan lebar jarak jauh generasi baru, beberapa pengendali LCC di rantau ini lebih menumpukan kepada pesawat berbadan sempit generasi baru yang menawarkan pelbagai faedah untuk perkembangan mereka.

“Jika digabungkan jumlah pesanan baru pesawat berbadan lebar daripada sembilan pengendali LCC di Asia Pasifik, jumlahnya hanya 10 pesawat, jauh lebih rendah berbanding pesanan pesawat dari AirAsia X.

“Ia termasuk lima pesanan pesawat berkenaan dari Beijing Capital Airlines, tiga dari Lucky Air dan dua dari Scoot Airlines,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 4:10 PM