Antara pendatang yang ditahan di Sabak Bernam awal pagui tadi. - Foto ihsan Polis Marin
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menahan 59 warga asing Indonesia yang cuba keluar dari negara ini menggunakan sebuah bot pukat tunda di Laut Kuala Bernam, di sini, awal pagi semalam.

Bot berkenaan ditahan sepasukan pegawai dan anggota PPM yang menjalankan Ops Tango Papa di kawasan berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya turut menahan tiga warga Indonesia iaitu tekong dan awak-awak bot berkenaan.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an, dipercayai menuju ke perairan Indonesia untuk pulang ke negara mereka bagi menyambut Aidilfitri.

"Warga Indonesia yang ditahan dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen antaranya tidak memiliki pasport dan tinggal lebih masa di negara ini.

"Semua yang ditahan di bawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Lokap Berpusat Shah Alam untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 12:49 PM