POLIS membawa suspek berusia 53 tahun yang disyaki merogol seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun. FOTO Muhammad Mikail Ong
Oleh Rudy Syarene Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Seorang bapa tampil membuat laporan polis semalam (Ahad) selepas mendakwa anak perempuanya berusia 16 tahun dirogol kenalan rapatnya sendiri yang berusia 53 tahun hingga menyebabkan remaja itu kini hamil tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu disedari bapa gadis itu sejak 29 September lalu selepas mendapati gelagat anaknya mencurigakan.

"Namun remaja itu cuba menyembunyikan kandungannya, bagaimanapun bapanya yang masih curiga mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar anaknya ke hospital sebelum disahkan hamil.

"Remaja itu juga enggan mendedahkan identiti lelaki bertanggungjawab terhadap kandungannya itu menyebabkan bapanya tampil membuat laporan polis," katanya.

Hasil soal siasat remaja itu mengaku melakukan hubungan seks dengan kenalan bapanya di sebuah hotel di kawasan Timur Laut.

Suspek ditahan dirumahnya di Sungai Pinang pada hari sama laporan dibuat bapa mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan Kerana merogol.

Lelaki itu juga ditahan reman hingga Sabtu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 6:56 PM