Gaza: Agensi Bantuan Dan Kerja Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) mungkin terpaksa menutup 700 sekolah selepas ia berdepan dengan kekurangan pembiayaan.

Bercakap kepada wartawan akhbar Perancis Le Monde di Gaza, pengarah UNRWA Robert Turner berkata, agensi itu berdepan kesukaran untuk menawarkan perkhidmatannya kepada pelarian Palestin kerana kepungan berterusan rejim Zionis terhadap Semenanjung Gaza.

“Keadaan semakin membimbangkan dan pertubuhan kami tidak lagi berkemampuan untuk memberi bantuan kecemasan. Kami mengalami defisit bajet yang dianggar berjumlah AS$100 juta (RM370 juta),” kata Turner.

Dia memberi amaran, jika krisis itu tidak diselesaikan bermula tahun depan, UNRWA terpaksa menutup 700 sekolah dan ia akan menjejaskan kehidupan 500,000 kanak-kanak.

Menurutnya, seramai 248,000 murid yang mungkin terjejas itu ialah di Semenanjung Gaza.-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:14 AM