Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

Teluk Intan: Bukti kukuh seharusnya dikemukakan The Wall Street Journal (WSJ) sebelum melemparkan tuduhan kononnya sejumlah wang bernilai berbilion ringgit didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Najib pula seharusnya mengambil tindakan undang-undang kerana membabitkan soal maruah kepemimpinan negara.

Katanya, individu yang menjadi dalang dalam penyebaran maklumat yang tidak tepat ini haruslah bertanggungjawab sepenuhnya dengan tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa.

"Kredibiliti WSJ sebenarnya boleh dipertikaikan kerana pernah empat kali disaman sebanyak Kerajaan Singapura dan kalah dalam semua kes berkenaan.

"Tindakan WSJ mendahului siasatan yang sedang dijalankan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sememangnya hanya bertujuan untuk mensensasikan berita," katanya pada sidang media selepas program tazkirah dan sumbangan kepada warga polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 4:09 PM