Santiago: Final Copa America antara Argentina dan tuan rumah Chile mungkin menjadi pertembungan antara kecemerlangan Lionel Messi dan Gary Medel, pemain yang sering bermain kasar dan diberi nama ‘Pitbull’.

Pemain tengah bertahan itu akan berdepan tugas hampir mustahil untuk mengawal Messi ‘The Flea’ pada pertembungan dua pasukan itu awal pagi esok, dua musuh utama yang masing-masing terdesak memenangi Copa.

Messi bagaikan menari dalam kalangan pertahanan Paraguay ketika Argentina meratah lawan enam gol pada separuh akhir minggu ini. Medel mencetus aib pasukannya apabila menjaringkan gol sendiri yang membantu Peru menyamakan kedudukan sebelum Chile menang 2-1 untuk layak ke final.

Kapten Argentina, Messi kini lebih 900 minit tidak menjaringkan gol menerusi permainan terbuka pada perlawanan antarabangsa.

Namun dia tetap menjadi ancaman utama yang mencipta hampir semua gol Argentina menentang Paraguay.

“Harapnya saya boleh menjaringkan gol pada final, tapi tidak kisah jika saya menjaringkan gol atau rakan saya, apa yang penting kami melengkapkan objektif utama layak ke final,” kata Messi selepas perlawanan itu.

Medel yang berusia 27 tahun menggambarkan semangat tidak pernah luntur pasukan Chile yang belum pernah menjuarai Copa. Pemain Inter Milan itu sering kali dilihat bersedia untuk menerjah dan mengakui ketika kecil dia selalu terbabit dalam pergaduhan.

“Saya agak gila sedikit,” kata Medel sebelum ini.

Kegilaan Medel menyaksikannya dibuang padang kerana menampar pemain Atletico Madrid, Diego Costa (kini di Chelsea) ketika beraksi di Sevilla.

Medel juga dibuang padang pada separuh akhir Piala Dunia B-20 di Kanada pada 2007 yang disusuli pergaduhan antara pemain Chile dan anggota polis di tempat letak kereta selepas itu. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:34 AM