GAMBAR fail. FOTO Amran Hamid
Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Syarikat Penerbangan Malindo Air mengesahkan penerbangan dari Delhi, India ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Thailand disebabkan oleh masalah teknikal.

Menurut Pengarah Perhubungan dan Komunikasi Malindo Air Raja Sa'adi Raja Amrin, penerbangan OD206 yang berlepas jam 10.05 malam waktu tempatan membawa 121 penumpang termasuk 3 bayi dan lapan anak kapal.

Katanya, pesawat Boeing 737-900ER itu sepatutnya dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 5.25 pagi tadi.

"Krew penerbangan mengesan terdapat masalah teknikal pada pesawat dan terus melaporkan kepada menara kawalan trafik udara sebelum membuat pendaratan ke Lapangan Terbang Don Mueang, Thailand.

"Pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Don Mueang pada jam 2.45 waktu tempatan dan semua penumpang selamat kembali ke ibu negara dengan menggunakan penerbangan lain pada jam 3.45 waktu tempatan,"katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Menurutnya, pihaknya sedang menyiasat punca masalah teknikal dan laporan sudah dihantar kepada pihak berkaitan termasuk pengeluar pesawat dan enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 2:25 PM