HAMZA (kanan) menunjukkan beberapa resit bank dan wang tunai yang dirampas. FOTO Siraj Mohd Zaini
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Satu sindiket penipuan dalam talian membabitkan nilai kerugian RM1.3 juta tumpas selepas 12 anggota sindiket terbabit yang menyamar sebagai anggota polis ditahan sejak Jun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, serbuan dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak selepas menerima 41 laporan mengenai penipuan terbabit mulai Februari lalu.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menggunakan teknik 'spoofing' iaitu dengan membuat panggilan menggunakan nombor telefon kononnya milik pihak berkuasa kepada mangsa dan mengatakan anak, suami, atau menantu mangsa ditangkap polis kerana terbabit dengan kes pengedaran dadah yang boleh dijatuhkan hukuman gantung.

"Dalam masa rundingan ini, mangsa akan terdengar suara anak atau suami yang menangis meminta tolong dan akan membuatkan mangsa gelisah.

"Rundingan dilakukan dan mangsa diarah ke bank untuk mengeluarkan wang dan perlu meletakkannya di lokasi tertentu atau memasukkan wang ke akaun pihak ketiga dalam masa tiga jam," katanya dalam sidang media, hari ini.

Hamza berkata, semua suspek termasuk keldai akaun berusia diantara 20 hingga 80 tahun itu ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 4:42 PM