FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

am@hmetro.com.my

Bagan Serai : Seramai 25 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu terpaksa menaiki dua buah trak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berikutan banjir di Kampung Changkat Lobak dan Matang Pasir, Alor Pongsu di sini.

Kesemua pelajar berkenaan dibawa dengan kenderaan itu bagi memastikan mereka dapat sampai ke sekolah selepas jalan utama di situ dinaiki air sejak beberapa hari lalu.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Alor Pongsu Ahmad Lotfi Ismail berkata, kesemua pelajar yang terbabit banjir dipastikan hadir pada hari peperiksaan.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menggunakan bantuan JPAM kerana jalan utama di sini, dinaiki air akibat banjir.

"Difahamkan lebih 60 pelajar dari beberapa perkampungan terbabit banjir, jadi dengan bantuan trak JPAM kita mengangkut mereka termasuk 25 yang menduduki SPM untuk pastikan mereka dapat hadir ke sekolah.

"Selebihnya pelajar sekolah terbabit ada diantaranya menggunakan motosikal sendiri dan terpaksa menggunakan jalan pintas untuk ke sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 1:34 PM