AGUS berasa puas selepas menceburkan diri dalam seni khat.
KARYA puisi nasihat berjudul Teguh.
KARYA berjudul Seni Itu Indah.
PAMERAN Munajat dibuka secara percuma kepada semua pengunjung.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Ia dilihat sebagai satu perkembangan memberangsangkan apabila ramai dalam kalangan pelukis tempatan mendukungi seni khat.

Seni kaligrafi tidak akan pupus selagi dihidupkan pencinta dan pengikut aliran seni ini malah anak muda zaman ini turut berpeluang mengembangkan minat mendalam dengan mempelajari selok belok khat.

Begitu juga bakat yang dimiliki dua anak muda ini melalui pameran Munajat yang berlangsung di Galeri Angkatan Pelukis SeMalaysia, Off Jalan Tun Razak.

Menerusi duo pameran, Agus Minurahman Sulaiman digandingkan dengan Zuhud’ulya Iberahim yang memperlihatkan pencapaian masing-masing dalam seni khat.

Bertugas sebagai tenaga pengajar sepenuh masa, guru sekolah menengah ini tidak pernah menjadikannya penghalang untuk mereka meluaskan ilmu kaligrafi dan menyampaikan dakwah pada masa yang sama.

Meskipun menerima pendidikan yang berbeza dalam bidang seni, kedua-duanya mempunyai bakat dan kualiti tersendiri sewaktu mempamerkan hasil kerja seni mereka.

Penggunaan medium meliputi akrilik dan cat minyak, jelas memperlihatkan kematangan dalam mengolah jalinan tulisan Jawi dan penulisan khat Arab.

Bancuhan warna pelangi terutama biru dan kuning, serasi dengan maksud yang ingin disampaikan apatah lagi ia lebih cantik, indah dan menarik pada pandangan mata penonton.

INFO

MUNAJAT

- Artis: Agus Minurahman Sulaiman dan Zuhud’ulya Iberahim

- Jumlah karya: 30

- Lokasi: Galeri Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS), No 64 (1) Jalan Kuantan, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 17 Julai 2015

- Masa: 9 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 019-3096897 (Agus), 0111-5088748 (Zuhud)

- FB: Agus Sulaiman / Zuhud Ulya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 12:41 PM