KHAIR mengadakan lawatan ke bilik kebal dan sekitar dewan peperiksaan di SMK Anderson Ipoh. FOTO Supian Ahmad

Ipoh : Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kesemua 562 bilik kebal di seluruh negara sudah dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah tambahan keselamatan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamed Yusof berkata, bagaimanapun bukan hanya aspek simpanan kertas peperiksaan di bilik kebal sahaja dipertingkatkan malah keseluruhan aspek dari peringkat awal turut dipertingkatkan demi memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan.

"Proses lain turut dipertingkatkan termasuk penubuhan Jawatankuasa Bebas bagi menangani isu kebocoran kertas peperiksaan Oktober lalu dan laporan dijangka akan dapat diperoleh pertengahan Disember ini," katanya.

Beliau mengadakan lawatan ke bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini dan meninjau persediaan hari pertama peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia sebentar tadi.

Khair turut berpuas hati dengan proses dan aspek kawalan keselamatan ketika kertas peperiksaan diambil dan diagihkan ke pusat peperiksaan di bilik kebal berkenaan.

Seramai 455,839 calon akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini membabitkan 3,655 pusat peperiksaan dengan 29,607 petugas ditempatkan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 10:20 AM