Kempen Kombo RM5 Untuk Cuti Idaman Anda bermula 1 Julai hingga 31 Ogos depan.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) melancarkan Kempen Kombo RM5 Untuk Cuti Idaman Anda bermula 1 Julai hingga 31 Ogos depan dalam usaha mengukuhkan jenama Kedai Mesra.

Menerusi kempen itu, orang ramai boleh merebut peluang untuk memenuhi percutian ke destinasi pilihan mereka dengan pembelian sebarang Kombo Kedai Mesra dengan jumlah minima RM5.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, terdapat hadiah bernilai lebih RM450,000 menanti lebih dari 800 pemenang sepanjang waktu kempen berlangsung.

Beliau berkata, selain hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM20,000 untuk 12 orang pemenang, terdapat juga hadiah bulanan pakej percutian bernilai RM5,000 untuk 12 orang serta hadiah saguhati bahan api bernilai RM200 bagi 800 pemenang.

“Sama ada anda seorang pegawai eksekutif korporat, suri rumah mahupun pelajar kolej, semua orang mengimpikan percutian menarik lebih-lebih lagi segala perbelanjaan mereka ditanggung dan ini adalah waktu yang sesuai untuk mereka merebut peluang.

“Kami menghargai hubungan yang utuh antara syarikat dan pelanggan kami kerana kepuasan mereka memberi tunjang kepada kekuatan kami sebagai satu jenama. Oleh itu, kami berusaha untuk memberi pelanggan tawaran kempen menarik seperti ini,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu dan pemberian hadiah Kempen Ways2Win di sini, semalam.

Kempen Ways2Win yang berlangsung 13 April hingga 14 Jun lalu menawarkan hadiah utama iaitu bahan api percuma untuk tiga tahun dan Chuah Kiah Kee, 38, wakil jualan bagi sebuah syarikat farmaseutikal diumum sebagai penerima hadiah berkenaan.

Kempen itu menggabungkan dua komponen iaitu penebusan baucar segera dan peluang memenangi bahan api dengan setiap pembelian minimum RM40 di mana-mana Stesen PETRONAS dan Kedai Mesra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 6:27 AM