Seni bina Masjid Biru, Turki yang menakjubkan.
Tarian sufi memang terkenal di Turki.
Turki memang terkenal dengan seni kraf tangan.
Peluang menaiki belon panas memang menyeronokkan.
Oleh NORIAH IDRIS
noryidris@gmail.com


TIDAK tergambar gembiranya hati ini dapat menyaksikan tulip pelbagai warna berkembang mekar sewaktu melancong ke Turki, baru-baru ini.

Tulip sering dikaitkan dengan festival bunga di Belanda, sedangkan ia berasal dari Turki. Ketika pemerintahan Sultan Ahmed III, baginda menghadiahkan bunga itu kepada kerajaan Belanda lalu tumbuhan itu hidup subur hingga kini.

Tulip dalam bahasa Turki membawa maksud ‘sorban’ (serban) yang menyerupai kain lilit di kepala.

Seronoknya melancong ke Turki kerana hampir 90 peratus penduduknya beragama Islam.

Kami menaiki pesawat seawal jam 3 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Apa yang menariknya, selepas perjalanan lebih 10 jam, lawatan pertama kami ialah ke Bursa yang mengambil masa tiga jam dari Istanbul. Ia antara bandar moden terbesar yang terletak di barat laut Anatolia, Turki.

Bursa terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan seperti Masjid Biru dan seni bina Islam oleh Mehmet Alga yang dikatakan pernah berguru dengan tokoh ilmuwan Islam tersohor iaitu Ibnu Sina.

Kami meneruskan lawatan ke pusat sutera atau Silk House yang menyediakan pelbagai pilihan seperti alas meja, sarung kusyen dan tudung yang berkelas tinggi.

Ahli rombongan kemudian menaiki bas lebih lima jam ke Kusadasi dan Pamukkale selain dibawa ke kilang seramik yang mempamerkan pasu tanah liat hasil buatan tangan.

Kami turut melawat kilang permaidani serta menyaksikan proses pembuatan bermula daripada benang sutera hingga terhasil perusahaan yang komersial, sekali gus mengang­kat nama Turki di seluruh dunia.

Di Bursa dan Kusadasi, kami bertemu tulip indah sepanjang jalan dan taman menjadi berwarna- warni.

Keterujaan terhadap bunga-bungaan indah ini terserlah di wajah pelancong dari serata dunia yang dikatakan hampir 250,000 hingga 400,000 mengunjungi negara itu setiap tahun untuk melihat keindahan tulip.

Semua orang tidak melepaskan peluang bergambar di sepanjang kebun bunga hinggakan ada sanggup berbaring di atas rumput semata-mata mahu mendapat rakaman terbaik tulip yang indah!

Puas merakam ke­indahan tulip, kami menuju bandar purba di Pamukkale, Konya sebelum ke Cappadocia.

Di Ephesus, Pamukkale adalah bandar lama me­nyimpan sejarah awal Turki dengan pelbagai artifak menarik dan lebih mempesonakan, ia adalah jajahan takluk Kerajaan Islam pada zaman Uthmaniyah.

Kota purba dipengaruhi Roman terutama Artemis Temple sebelum meneruskan lawatan ke Antic City of Hierapolis.

Jolokan Istana Kapas (Cotton Castle), kawasan berbentuk lembah sungai mineral berkarbonat seolah-olah hamparan salji garam melatari muka buminya yang mempesonakan.

Kolam itu terbentuk hasil gempa bumi dan sentiasa dijaga rapi. Kami sempat mencecah kaki ke air garam itu kerana dikatakan boleh membantu merawat pelbagai jenis penyakit kronik selain melancar peredaran darah.

Subhanallah... uniknya kolam ini kerana airnya sejuk dan panas ditambah landskap yang menarik.

Kemudian, kami menuju Mevlana Muzium untuk menyaksikan kesan awal pendudukan Islam di Turki dan berpeluang menonton tarian sufi atau ‘Whirling Darwish’.

Penari yang kebanyakan lelaki mampu berputar untuk jangka waktu yang panjang sambil mengembang kainnya sepanjang tarian selain memuji kebesaran Maha Pencipta.

Tarian itu dikaitkan dengan penyair dan ahli sufi terkenal di negara Turki iaitu Jalaluddin Rumi yang dikatakan mencipta tarian itu.

Lawatan paling ditunggu-tunggu ialah ke Cappadocia atau dikenali ‘The Flintstone House’ dan menaiki belon udara panas.

Pelancong dikenakan bayaran AS$200 atau RM700 dan perlu berbaris awal pagi untuk tujuan berkenaan.

Dari angkasa, anda dapat menyaksikan pemandangan panorama menarik di Turki selain menyaksikan rumah kayu kuno atau gua yang unik yang menjadi penempatan penduduk di kota berkenaan.

Kami meneruskan perjalanan ke Bolu dan Ankara sebelum tiba di destinasi terakhir iaitu Istanbul menerusi perjalanan hampir 12 jam menaiki bas.

Ankara ibu kota Turki yang sibuk dan amat menarik kerana ia juga pusat pemerintahan kerajaan Mustafa Kamal Ataturk iaitu pemerintah yang menukarkan Turki daripada sebuah negara Islam kepada sekular.

Selepas itu, kami mengatur langkah ke Muzium Ataturk dan sempat menyaksikan pasukan polis bertukar waktu syif kerja dalam acara rasmi.

Apa yang melucukan, ramai gadis yang berselfie bersama anggota polis yang tegap lagi bergaya itu kerana ia antara buah tangan terindah.

Namun, pengalaman ke Bosporus tidak kurang hebatnya kerana ia antara lokasi pelancongan unik ­di kota Turki ini. Dalam cruise berkenaan, kami belayar untuk melihat tempat persinggahan kapal besar dan panorama indah kawasan sekitar.

Selepas itu kami melawat Makam Ayub Al-Ansari dan Sufiymaniye Mosque yang dipenuhi pelancong yang sangat ramai diiringi rintik hujan dalam beberapa detik.

Sebelum mengakhiri lawatan pada hari ke-10, sebaik saja sarapan di hotel, kami diberi masa kira-kira tiga jam untuk membeli-belah di Grand Bazar sebelum berangkat pulang.

Memang tidak dinafikan, di bazar berkenaan kami bagaikan ‘lupa diri’ berbelanja dan tenggelam dalam lautan manusia selain ramah disapa dengan ucapan selamat datang serta perkataan ‘murah, murah!’.

Keramahan si penjual yang kebanyakan terdiri daripada jejaka Turki yang ting­gi lampai serta berhemah tidak dinafikan antara kota warisan dunia yang wajib ada dalam kalendar untuk dilawati.

Selain produk pelancongan seperti keindahan lampu hiasan, gelas kecil untuk minum teh, kemeja-T, magnet peti ais atau manisan baklava antara barang yang wajib untuk dibawa pulang.

Sesungguhnya, kenangan manis tidak mampu dilukis dengan kata-kata kerana gelagat teman yang menceriakan suasana selain gemar berposing dalam pelbagai gaya mengalahkan model tanpa mengira tempat atau suasana.

Lebih menarik, rombongan ini mampu mengerat­kan ukhuwah dalam kalangan kenalan lama dan baru sekali gus meninggalkan kesan amat mendalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:51 AM