CHE Amran (kiri) bersama Zulfadli dan Abu Bakar (duduk) masih terima undangan persembahan dalam dan luar negara.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetrro.com.my


Kali terakhir Raihan muncul dengan album Selawat Terapi pada 2012. Selepas itu, kumpulan yang di­anggotai Abu Bakar Md Yatim, Che Amran Idris, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza lebih banyak menyanyikan lagu lama mereka.

Meskipun akur dengan keadaan pasaran semasa, Raihan yang pernah popular dengan lagu Puji-Pujian, Iman Mutiara dan Senyum masih berharap dapat menghasilkan album baru.

“Belum sampai masa hasilkan album baru. Kos pembikinan album sangat tinggi sedangkan jualan tidak seberapa. Kami tidak mahu ambil risiko.

“Album terakhir kami, Selawat Terapi hanya terjual 12,000 unit walhal album Puji-Pujian pada 2006 mencatat jualan 700,000 unit.

“Andai ada peluang dan penaja, kami mahu rakam album lagi,” kata Che Amran.

Sambung Che Amran, senario itu bagaimanapun tidak menggugat rezeki mereka sebaliknya Raihan masih menerima undangan menjayakan persembahan dalam dan luar negara.

“Undangan dalam negara masih ada cuma tidak ‘selebat’ dulu.

“Persembahan di luar negara pula kami memenuhi jemputan Islamic Relief International mengadakan persembahan di United Kingdom dan Perancis. Kerjasama ini terjalin sejak 2002 lagi.

“Selain itu, kami dilantik menjadi Duta Kemanusiaan awal tahun ini,” katanya.

Biarpun tidak mendapat publisiti, Raihan tidak pernah berjauh hati dengan media kerana memahami kehendak pembaca yang dahagakan kisah sensasi.

“Raihan masih boleh cari makan. Alhamdulillah, kami sibuk dengan pelbagai aktiviti.

“Bukan hanya Raihan, kumpulan nasyid lain pun berdepan situasi serupa, tetapi masih bertahan hingga ke hari ini. Malah ada antara mereka memiliki syarikat rakaman dan menghasilkan lagu,” katanya.

Konsert Ku Mohon

Sebelum ini Islamic Relief Malaysia (IRM) mengumumkan penyanyi kelahiran Kuwait, Humood Alkhudher antara artis yang akan menjayakan konsert Ku Mohon. Terbaru Raihan dipilih mewakili Malaysia bersama Anuar Zain dan Akim.

“Memandangkan Raihan duta yang baru dilantik, kami wajib menjayakan persembahan ini. Insya-Allah kami akan menyampaikan empat lagu yang sesuai dengan konsep per­sembahan.

“Difahamkan penonton yang hadir bukan saja orang tempatan, ada juga dari luar negara. Justeru lagu yang dipilih kenalah pelbagai,” katanya.

Konsert yang diadakan pada 31 Oktober di Stadium Malawati, Shah Alam itu turut menampilkan nama besar seperti Opick dan Ebiet G Ade dari Indonesia serta Zain Bikha (Afrika Selatan).

Konsert ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM5 juta yang akan disalurkan ke projek pembangunan dan kemanusiaan dalam negara.

Sebanyak 9,000 tiket akan dijual kepada orang ramai, persatuan, badan kerajaan dan korporat. Tiket boleh dibeli menerusi www.ticketpro.biz sejak 30 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:54 AM