Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Siapa sangka selain menyanyi, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 22, berbakat dalam bidang pengacaraan. Peserta program realiti Akademi Fantasia 2013 nyata semakin selesa mengendalikan program bual bicara TV9, Nasi Lemak Kopi O.

Memulakan tugasnya Januari lalu, Amira mengakui kerjaya itu semakin dekat di hatinya.

Berkongsi pengalaman sebagai pengacara, Amira teruja dan gembira apabila kehadirannya dalam produksi Nasi Lemak Kopi O mendapat mendapat sokongan rakan-rakan.

“Asalnya saya diundang mempromosikan single. Tak sangka pula produksi berminat mengambil saya sebagai pengacara. Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa gembiranya saya.

“Kali pertama mengacara saya gugup dan rasa serba tidak kena. Mujur rakan di studio banyak membantu.

“Lama-kelamaan saya dapat biasakan diri dan rasa semakin seronok.

Selain menyanyi dan berlakon, mengacara adalah salah satu impian saya sejak dulu,” katanya.

Mengulas karier nyanyian, Amira muncul dengan single kedua berjudul Hati-Hati. Lagu ciptaan Faizul Sany dan Hael Husaini sudah sebulan menjengah pasaran.

Memandangkan belum ada muzik video, Amira memuat naik lirik sebagai inisiatif mempromosikan lagu itu.

“Alhamdulillah selepas dua tahun saya muncul dengan single baru. Hati-Hati hadiah istimewa buat peminat yang tidak jemu menyokong saya selama ini.

“Sebelum ini saya sibuk dengan beberapa komitmen termasuk mengacara dan projek istimewa bersama The Lomas. Kami sempat merakamkan dua lagu iaitu Pabila Larut Malam dan Rindu.

“Dengan adanya single kedua ini diharap saya dapat mengukuhkan nama sebagai penyanyi,” katanya.

Sambung Amira, The Lomas banyak membantu menaikkan namanya apabila menerima undangan menjayakan persembahan pelbagai pihak termasuk Kilauan Emas yang berlangsung baru-baru ini.

“The Lomas semakin diterima malah lagu kami menjadi siulan

peminat. Saya bersyukur kerana menerusi projek istimewa ini, saya masih dapat menyanyi.

“Insya-Allah selepas ini saya akan giat mempromosikan single kedua di laman sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:51 AM