Anyeonghaseyo! Belum reda mengenai isu syarkat ejen artis SM Entertainment tidak mendaftar perniagaan dengan kerajaan, terbaru agensi terbabit disiasat pula berikutan konflik dengan bekas artis naungan mereka iaitu No Min Woo.

Agensi itu disiasat Jabatan Perdagangan Adil (FTC) bagi melihat sistem perniagaannya selepas penyanyi dan pelakon itu mengemukakan pendapatnya mengenai sengketa terbaru antara kedua-dua pihak.

“Sebelum Min Woo diperkenalkan, SM sepakat mahu mengikat kontrak untuk tempoh 17 tahun lagi. Namun selepas meninggalkan SM, Min Woo dihalang daripada membuat kemunculan di TV,” kata peguam artis terbabit.

Min Woo memulakan kerjayanya bersama SM 2004 sebagai anggota band The TRAX. Bagaimanapun, dia yang bermain dram untuk band itu mengambil keputusan keluar daripada SM pada 2006 bagi memberi fokus terhadap lakonan.

Membuka lembaran Ulzzang! minggu ini, kumpulan wanita SISTAR mendakwa bahawa seorang anggotanya, Hyorin ada mencipta lagu untuk kumpulan itu, tetapi ditolak agensi mereka.

Kelmarin, SISTAR tampil sebagai artis jemputan dalam rancangan MBC FM4U’s Two O’Clock Date with Park Kyung Lim.

Pada wawancara berkenaan, mereka sempat ditanya jika mereka teringin menghasilkan lagu sendiri.

Menjawab persoalan itu, Soyou menceritakan Hyorin sudah bekerja keras menghasilkan lagu malangnya agensi menolak mentah-mentah karyanya itu.

“Lagu yang saya cipta itu tidak sesuai dengan arus perdana dan tidak berunsur tarian. Jelas sekali lagu itu jenis yang sangat dibenci agensi,” kata Hyroin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:24 AM