SEBAHAGIAN daripada rangka kapal angkasa SpaceShipTwo yang terhempas di Gurun Mojave, California, kelmarin.

Los Angeles: Selebriti dan jutawan yang sudah membayar tambang sebanyak AS$250,000 (RM823,000) untuk perjalanan ke angkasa lepas dengan pesawat SpaceShipTwo milik bilionair Richard Branson masih merancang untuk meneruskan perjalanan itu meskipun selepas pesawat berkenaan meletup di udara Jumaat lalu.

Ketika Branson tiba di tempat tragedi berkenaan di California, sebahagian daripada mereka yang sudah menempah perjalanan itu berkata, mereka masih yakin dengan impian Branson serta teruja dan bersedia ke angkasa lepas walaupun penerbangan itu perlu dijadual semula.

Branson sebelum ini pernah berkata mengenai programnya dan mengenai mereka yang ingin bersama-sama menjelajah ke angkasa lepas.

“Setiap orang yang bersetuju mengikuti perjalanan ini tahu ia program terbaru angkasa lepas dan faham risiko yang akan mereka hadapi,” katanya.

Jumaat lalu, sejurus selepas kapal angkasa berkenaan meletup ketika dalam penerbangan ujian, Branson mengumumkan pihaknya akan memulangkan semula tambang yang dibayar.

Tetapi, sehingga ini ramai yang belum mahu membatalkan penyertaan mereka, malah sebahagian besar masih teruja menyertai penerbangan itu.

Antara selebriti yang membayar tambang dan bersedia untuk terbang itu termasuk, Ashton Kutcher Lady Gaga, Katy Perry, Russell Brand, Leonardo DiCaprio, Princess Beatrice, Tom Hanks, Angelina Jolie, Brad Pitt, Lance Bass dan Justin Bieber.

Bieber ketika membeli tiket itu tidak berapa lama dulu berkata, dia merancang merakam video muzik di angkasa lepas.

Bercakap kepada New York Times mengenai tragedi Jumaat lalu, pengarah Konsortium Angkasa Lepas New Mexico, Patricia Hynes berkata, dia tidak merancang membatalkan hasratnya menaiki pesawat milik Branson itu.

Seorang wartawan, Jim Clash, antara 700 pemegang tiket pula berkata: “Kemalangan memang boleh berlaku. Tetapi, saya tidak akan menjual tiket atau membatalkan perjalanannya saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:09 AM