Pemerintah tentera udara Indonesia Agus Supriatna berjanji menyiasat dakwaan pesawat yang terhempas membawa orang awam yang membuat bayaran sebagai penumpang. - Foto REUTERS

Medan: Tentera udara Indonesia akan menyiasat kemungkinan pesawat Hercules C-130B yang terhempas di sini, semalam, membawa orang awam yang membuat bayaran sebagai penumpang.

Nahas itu menyebabkan 141 orang terbunuh, termasuk 122 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

Pesawat itu didapati membawa penumpang lebih ramai berbanding dinyatakan tentera sebaik nahas berlaku. Pada awalnya tentera menyatakan pesawat berusia 51 tahun itu membawa 12 anak kapal tetapi ia kemudian beberapa kali mengumumkan jumlah penumpang yang berbeza, termasuk 113 orang semalam dan hari ini 122 orang.

Amalan pesawat tentera membawa penumpang yang membuat bayaran, pernah berlaku sebelum ini dan kerajaan Indonesia serta tentera udara berjanji menghapuskan amalan itu.

Pemerintah tentera udara Indonesia Marshal Udara Agus Supriatna berkata, pesawat berkenaan hanya dibenarkan membawa anggota tentera serta keluarga mereka dan akan menyiasat dakwaan kemungkinan membawa orang awam yang membuat bayaran.

Salinan senarai penumpang yang dilihat wartawan Associated Press (AP) menunjukkan 32 penumpang tiada maklumat lanjut sebagai tentera atau ahli keluarga.

Menurut Agus, dalam keadaan tertentu, orang awam seperti pegawai kerajaan dan penyelidik boleh mendapat kebenaran untuk menaiki pesawat tentera.

Di Hospital Adam Malik, Medan, yang menjadi lokasi pengumpulan mayat mangsa, pemerintah tentera wilayah Edy Rahmayadai berkata, operasi mencari dan menyelamat membabitkan ratusan anggota tentera dan polis sudah dihentikan.

Jurucakap hospital itu, Sairi M Saragih berkata, lebih 60 mayat sudah dikenal pasti identiti.

Punca pesawat berkenaan belum diketahui tetapi menurut Agus, juruterbang memberitahu menara kawalan pesawat perlu berpatah balik kerana masalah enjin dan terhempas ketika ia berpusing ke kanan.

Pesawat itu berlepas pada jam 12:08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan tentera udara di Medan dan terhempas dengan api menjulang kira dua minit kemudian, kira-kira lima kilometer dari pangkalan itu.

Pesawat berkenaan berlepas dari Jakarta dan singgah di dua perhentian sebelum Medan. Ia berlepas dari pangkalan tentera udara Medan untuk ke Tanjung Pinang di Kepulauan Riau. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 8:36 PM