MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menganjurkan beberapa program bagi mempromosikan Bazar Ramadan Mega Melaka sepanjang Ramadan ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman berkata, antara program berkenaan termasuk pengagihan 1,500 bungkus bubur lambuk kepada orang awam bertempat di Bazar Ramadan Mega Jalan Hang Tuah pada Jumaat ini bermula 4.30 petang.

Beliau berkata, Program Jom Kacau Dodol bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron juga akan diadakan pada 10 Julai depan.

"Sebanyak dua kawah dodol dan satu kawah wajik akan disediakan oleh kakitangan MBMB dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dodol dan wajik berkenaan kemudian akan diagihkan kepada pengunjung bazar berkenaan bermula 10 malam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 6:37 PM