Oleh Idris Musa

Berpuasa pada musim kemarau ini bahangnya amat terasa. Badan mudah terasa letih, cepat dahaga dan lemah segala anggota, terutama bagi mereka yang terdedah kepada panas terik secara berterusan.

Namun, belum ada berita dalam kalangan kita yang melarat disebabkan hawa panas keterlaluan. Kalaupun ada kes kemelaratan, ia adalah faktor lain seperti pengabaian tanggungjawab.

Tidak serupa keadaan di Pakistan, mereka yang berpuasa bergelut dengan cuaca panas keterlaluan. Laporan beberapa hari lalu menunjukkan lebih 1,000 orang di negara itu meninggal dunia manakala hampir 80,000 orang menerima rawatan di hospital.

Krisis itu dikatakan susulan kepada gelombang haba di India bulan lalu yang mengorbankan 2,500 orang.

n

Malaysia bumi
bertuah

Kita di Malaysia amat bernasib baik. Walaupun cuaca panas dan kering, namun ia belum berada pada tahap keterlaluan.

Masing-masing masih boleh menjalani ibadat puasa seperti biasa dan tidak perlu berbuka kerana alasan kekeringan.

Faktor keseimbangan terutama dari sudut iklim mahupun sosiopolitik mengizinkan kita untuk terus menikmati kehidupan seperti seadanya.

Hidup kita semakin makmur. Mungkin faktor itulah juga menyebabkan negara kita semakin menjadi tumpuan pihak luar seperti pelabur dan pelancong, bahkan pekerja asing dari pelbagai negara.

n

Syukur dengan
rahmat Allah

Rahmat Allah menaungi segala-galanya. Kita dapat hidup, kekal sihat dan bertenaga, hidup aman dan makmur bukan kerana usaha dan kepandaian kita semata-mata, tapi atas kehendak dan kuasa Allah SWT.

Dia yang Maha Pemurah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga, sementara kita cuma dituntut berusaha.

Firman-Nya dalam surah an-Nahl, ayat 18 yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya...”

Oleh kerana Maha Pemurahnya Allah mengurniakan nikmat, sepatutnya kita yang mengambil manfaat daripada nikmat itu bersyukur terhadap-Nya.

Menurut Imam al-Ghazali, kita dituntut bersyukur kerana dua sebab:

1. Agar nikmat yang besar itu kekal, sebab jika tidak disyukuri ia akan hilang.

Syukur di sini adalah pengikat nikmat. Dengan bersyukur, nikmat akan kekal dan tetap menjadi milik kita.

Apabila tidak disyukuri, nikmat itu akan hilang dan berpindah tempat.

Firman-Nya pada surah an-Nahl, ayat 112 maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan.”

Sabda Rasulullah SAW: “Di antara kenikmatan itu ada yang liar bagaikan binatang hutan. Oleh kerana itu, ia harus diikat dengan cara bersyukur kepada Allah SWT.”

2. Agar nikmat diperoleh bertambah.

Orang bersyukur akan menjadikan nikmat itu bertambah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Jadi, bersyukurlah dengan rahmat daripada-Nya. Peliharalah nikmat yang diperoleh dengan sebaik-baiknya. Jangan pula apabila terlepas daripadanya, kita mengeluh dan menyalahkan antara satu sama lain.

Ambillah peringatan dengan firman-Nya pada surah Saba, ayat 13 bermaksud: “...dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.”

Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 6:11 PM