GENG Bajet menggunakan parang panjang untuk mengugut enjaga kaunter hotel bajet. FOTO Asmah Rusman
Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan kumpulan samun hotel bajet yang kembali aktif sejak sebulan lalu dikenali sebagai 'Geng Bajet' dengan menahan tujuh lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun, Sabtu lalu.

Dalam serbuan pertama pada 3 pagi di hotel bajet di Jalan Sungai Besi, tiga anggota kumpulan itu ditahan bersama pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan samun yang dilakukan mereka.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Habibi Majinji, empat lagi rakan mereka ditahan di kondominium di Batu Caves dalam serbuan kedua pada 7.15 pagi hari yang sama.

"Mereka menggunakan parang panjang untuk mengugut penjaga kaunter sebelum membawa lari wang tunai dan pelbagai barangan di dalam hotel bajet di sekitar Lembah Klang ini," katanya.

Katanya, mereka juga akan merampas dan membuang kamera litar tertutup (CCTV) milik hotel bagi mengelak dikesan pihak polis.

Katanya, dengan tumpasnya geng itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun hotel bajet dan semua suspek direman hingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 1:40 PM