Lee (kanan) dan Pembantu Pengurus Jenama, Engku Nurul Jannah Engku Diaudin (kiri) menunjukkan menu set Ramadan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Loob Canteen Sdn Bhd, pemegang francais makanan Tino’s Pizza akan meluaskan pasarannya di seluruh negara apabila merancang untuk membuka 10 rangkaian cawangan restoran itu menjelang 2016.

Pengurus Pemasaran Kumpulannya, Jessica Lee berkata, setakat ini ada tiga cawangan Tino’s Pizza iaitu di Nexus Bangsar, The Garden Mall dan IOI City Mall.

Beliau berkata, Tino’s Pizza sudah setahun berada di pasaran negara ini dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan terutamanya penggemar piza.

“Modal yang diperuntukkan bagi membuka satu cawangan dianggarkan antara RM700,000 hingga RM850,000 dan ia bergantung kepada saiz serta lokasi.

“Buat masa ini, fokus kami adalah di sekitar Lembah Klang dan memandangkan Tino’s Pizza semakin mendapat permintaan, syarikat meneroka peluang meluaskan lagi rangkaian ke seluruh negara,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Menurutnya, Tino’s Pizza turut memperkenalkan menu set Ramadan sempena bulan puasa dengan dua pilihan yang memberi kelainan rasa kepada pelanggan.

Tino’s Pizza adalah jenama milik Sun Spark Group dari Taiwan pada 2013 dan menghidangkan piza pertamanya di Shanghai, China.

Penerokaan Tino’s Pizza di Malaysia adalah permulaan kepada jenama itu untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.

Jessica berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan 15 peratus dalam jualan sepanjang promosi bufet set Ramadan.

Beliau berkata, set terbabit dibuka bermula jam 6 petang hingga 10 malam setiap hari di semua rangkaian Tino’s Pizza.

Tino’s Pizza menampilkan rasa piza Neapolitan sebenar dan dapat disiapkan dalam tempoh dua minit kerana menggunakan suhu tinggi sehingga 500 darjah celsius, selain didatangkan dengan pelbagai pilihan rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:11 AM