PERANAN utama sebagai ketua keluarga harus dilaksana dengan baik selain menjaga komunikasi.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Lambakan tugas wanita yang bergelar isteri dan ibu sering kali menyebabkan golongan itu semakin kekurangan masa terutama untuk diri sendiri.

Selesai tugasan di pejabat, wanita adalah individu yang paling sibuk, bergegas pulang ke rumah untuk menyediakan hidangan, menguruskan anak-anak dan hal ehwal rumah tangga. Malamnya pula, mereka meluangkan masa menemani anak membuat kerja sekolah atau menyediakan keperluan keluarga untuk keesokan harinya.

Walaupun pada hakikatnya, semua tugas itu bukanlah tanggungjawab seorang isteri namun atas rasa kasih dan ingin membantu suami menjadikan wanita itu rela melakukannya.

Tidak rasa dibebani, mereka melaksanakan setiap perkara itu dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan atau hadiah daripada suami. Cukup dengan penghargaan, kasih sayang dan kesediaan suami untuk membantu apabila diperlukan.

Dalam senario ini, suami sebagai ketua keluarga seharusnya memainkan peranan utama dalam mengatur ­segala urusan rumah tangga dan jangan sesekali me­ngambil kesempatan di atas kebaikan isteri.

Mengikut hukum Islam, tugas berikut adalah tertanggung di atas bahu suami:

- Menjaga anak

- Menyediakan makan minum dan tempat tinggal untuk isteri dan anak-anak

- Mengurus segala urusan rumah tangga

- Mendidik anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna

- Menyelenggara hal ehwal rumah tangga seperti memasak, mengemas rumah dan menjahit.

Menurut penceramah bebas Mohd Assubhi Sidon, isteri hanya bertanggungjawab membantu suami dalam melakukan semua perkara terbabit.

“Dalam kata lain, isteri akan membantu sekiranya si suami tidak mampu dan tiada masa untuk melakukan tugas itu disebabkan tuntutan kerja, bukan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab berkenaan kepada isteri.

“Tetapi, isteri yang melakukan tugas membantu suami pasti akan dikurniakan ganjaran pahala yang besar,” katanya.

Menurut Mohd Assubhi, untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan dalam rumah tangga dan perbalahan, suami perlulah turut sama menguruskan rumah tangga.

“Jangan menyerahkan sepenuhnya tanggung­jawab itu kepada isteri walaupun dia tidak bekerja. Namun, apa yang sering dilihat kini, kebanyakan suami menganggap dan bertindak seolah-olah semua itu menjadi tanggung­jawab isteri serta mengharapkan isteri melakukan semua urusan rumah tangga tanpa rasa bersalah atau kasihan,” katanya.

Menurutnya, dalam hal ini perbincangan dan komunikasi amat penting bagi memastikan tidak timbul masalah di kemudian hari yang akhirnya meruntuhkan hubungan yang terbina.

“Walaupun si isteri melakukan semua perkara itu namun dibimbangi akan timbul rasa tidak rela terutama apabila suami langsung tidak mengendahkan urusan rumah tangga dan mahu dilayan sepenuhnya sebaik balik ke rumah.

“Apa yang terbaik, bantulah isteri terutama yang turut bekerja untuk membantu suami dalam membina keluarga bahagia,” katanya.

Sementara itu, menurut jurulatih keluarga yang juga Ketua Pengawai Eksekutif Smart Parents Network Sdn Bhd Zaid Mohamad, suami perlu menunjukkan teladan yang baik dengan membantu ‘kerja isteri’ di rumah apatah lagi jika mereka mempunyai anak.

Sikap ringan tulang membantu kerja rumah bukan saja akan menyenangkan hati isteri, malah boleh menguatkan lagi rasa kasih dan cinta mereka. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan ciri suami yang

baik kepada anak kerana ia akan dikenang sepanjang hayat.

“Apa yang dilakukan si ayah bakal mencorakkan sifat anak ketika mereka meningkat dewasa.

“Bekerjasama dalam melakukan segala urusan rumah tangga antara suami dan isteri pastinya akan membentuk sebuah kebahagiaan yang dapat dirasai setiap ahli keluarga,” katanya.

Zaid berkata, bapa perlu melakukan tugasan dalam rumah tangga bagi memastikan mereka tidak tertinggal dalam proses pembesaran anak-anak.

“Sering dilihat kebanya­kan anak lebih rapat ­dengan ibu berbanding bapa disebabkan waktu yang diluangkan dalam proses pembesaran dan mendidik dilakukan ibu.

“Perkara itu menyebab­kan bukan saja ibu terbeban dengan tuntutan tugas di rumah malah lebih membimbangkan apabila si anak turut terkesan dan semakin menjauh daripada bapa,” katanya.

Perkara yang boleh dilakukan bagi mengeratkan kasih sayang:

- Suami, isteri dan anak bergotong-royong melakukan kerja di rumah seperti me­ngemas rumah dan memasak.

- Berkomunikasi dan meluahkan apa juga masalah dihadapi.

- Tidak memendam rasa marah atau penat yang ditanggung.

- Lakukan tugasan sebagai seorang suami dan isteri ­dengan ikhlas.

- Didik anak untuk menjalankan tugas mereka sejak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 5:02 AM