BUAH-BUAHAN antara makanan yang tidak dikenakan GST.

Petaling Jaya: Perluasan senarai produk dan perkhidmatan di bawah bekalan kadar sifar dan dikecualikan yang diumumkan melalui Bajet 2015 lalu dilihat konsisten dengan usaha kerajaan dalam melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjelang April tahun depan.

Ketua Cukai KPMG Tax Services Sdn Bhd, Tan Lai Kok berkata, langkah itu penting untuk memastikan pelaksanaan GST seimbang dan cekap di mana ia melindungi kepentingan golongan berpendapatan rendah dan pada masa sama, menjana pendapatan daripada cukai terbabit.

“Pengumuman mengenai dua kategori GST dalam Bajet 2015 itu dilihat selari apabila kerajaan turut menurunkan cukai korporat sebanyak satu peratus dan cukai pendapatan individu (satu hingga tiga peratus) sama seperti beberapa negara seperti Australia,” katanya pada Sidang Kemuncak Cukai KPMG Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri mengumumkan beberapa lagi produk dan perkhidmatan yang dikenakan bekalan kadar sifar seperti segala jenis buah-buahan tempatan atau import, roti putih dan roti gandum, serbuk kopi, teh dan koko, mee kuning, kuetiau, laksa dan mihun, ubat-ubatan penting negara, dan bahan bacaan.

Selain itu, kerajaan mencadangkan beberapa perkara yang dikenakan perlepasan GST seperti penggunaan elektrik bagi 300 unit pertama dan jualan runcit untuk petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Beliau berkata, perincian dua kategori GST itu dilihat sofistikated, namun ia disifatkan sebagai pelaksanaan cukai terbaik di dunia dengan mengambil kira contoh daripada beberapa negara yang melaksanakan GST seperti Singapura, Australia dan Kanada.

“Berdasarkan situasi di China dan beberapa negara lain, pelaksanaan GST di Malaysia boleh disifatkan terbaik kerana persediaan lengkap dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melalui kewujudan panduan lengkap untuk membantu golongan perniagaan dan pengguna di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan GST di Malaysia juga lebih tersusun kerana negara memberi lebih masa untuk melakukan pendaftaran GST berbanding China yang hanya menetapkan empat hingga enam minggu untuk melaksanakan Cukai Nilai Tambah (VAT).

“Kadar cukai GST yang dikenakan negara iaitu sebanyak enam peratus juga dilihat agak rendah jika dibandingkan dengan purata negara di rantau Asia Tenggara iaitu 12.5 peratus dan negara Organisasi bagi Pembangunan Perbadanan Ekonomi (OECD) 19 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 AM