AFP

London: Pendakwa Britain semalam memfailkan 22 tuduhan penderaan seksual terhadap seorang ahli politik berusia 86 tahun yang kini menghidap penyakit Alzheimer kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengadakan seks dengan budak lelaki sepanjang tempoh 25 tahun.

Pendakwaan bersejarah terhadap Lord Greville Janner - bekas ahli parlimen dan anggota House of Lords - dianggap kejayaan bagi pihak yang giat berkempen supaya tindakan lebih tegas dikenakan dalam kes penderaan kanak-kanak.

Perkhidmatan Pendakwaan Crown (CPS) sebelum ini enggan mendakwa Janner kerana penyakitnya yang dianggap menyebabkannya tidak layak untuk dibicarakan.

Namun, selepas berdepan kritikan hebat, pengarah pendakwaan awam, Alison Saunders mengumumkan tuduhan itu diteruskan membabitkan sembilan mangsa - yang hampir semuanya berusia 16 tahun ke bawah ketika kejadian - bagi kejadian antara 1963 hingga 1988 itu.

Keluarga Janner menafikan sekeras-kerasnya yang dia menggunakan kuasanya sebagai ahli parlimen Parti Buruh di Leicester - jawatan dipegangnya antara 1970 hingga 1997 - untuk melakukan penderaan seksual terhadap budak lelaki terbabit di rumah kebajikan kanak-kanak di situ.

Pendakwa mengakui Janner berkemungkinan besar diisytiharkan tidak layak dibicarakan seterusnya bererti dia tidak akan disabitkan atas kesalahan itu.

Namun, tuduhan dikenakan memberi peluang untuk mangsa terbabit bersuara di mahkamah.

Liz Dux, yang mewakili seorang daripada mangsa berkata pihaknya gembira dengan keputusan itu.

“Anak guam kami sekian lama menunggu detik ini, supaya tuduhan serius ini dibawa ke muka pengadilan.

“Selama ini mereka kecewa dengan sistem keadilan jenayah, tetapi keputusan ini memberikan mereka sedikit harapan untuk mendapatkan pengadilan,”katanya.

Tuduhan membabitkan Janner mencetuskan spekulasi tahun lalu mengenai rangkaian fidofilia di parlimen menyebabkan Perdana Menteri David Cameron mengarahkan siasatan terhadap isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 7:16 AM