Oleh Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Peranan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menjejaki golongan penerima zakat akan diperkasakan lagi melalui iklan nombor telefon hotline yang akan dipamerkan pada badan bas dan teksi di negara ini.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha itu bertujuan memudahkan orang ramai yang mungkin masih tidak sedar kewujudan atau cara untuk menghubungi skuad berkenaan yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu melalui talian bebas tol 1-800-88-5222 atau hotline 012-5183614 dan 012-5127614.

"Sekarang ini MAIWP sedang diperingkat perbincangan bersama pihak pengangkutan awam seperti teksi dan bas untuk pamerkan nombor telefon skuad ini di badan kenderaan bagi menyedarkan dan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat selari dengan kecanggihan teknologi maklumat di hujung jari.

"Jadi di sinilah masyarakat setempat boleh memainkan peranan menyalurkan maklumat sekiranyatahu atau terjumpa mereka yang dalam kesusahan sama ada melalui aplikasi sosial terkini seperti Whatsapp dan Telegram selain SMS dan MMS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Kepada Pesakit Serta Penyerahan Peralatan Kesihatan dan Dana Kewangan Kepada Tabung Kebajikan Hospital-hospital Wilayah Persekutuan di Auditorium Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jamil Khir berkata, tidak dinafikan dalam usaha proaktif MAIWP menjejaki golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan melalui lawatan ke rumah setinggan dan PPRT,masih terdapat mereka yang tercicir daripada menerima bantuan zakat.

"Kita tidak mahu lagi ada tanggapan segelintir masyarakat yang bercakap MAIWP hanya tahu kutip (zakat) tetapi tidak tahu mengagihkannya.

"Sebab itulah Skuad Jejak Asnaf Baitulmal ini akan bertindak dengan kadar segera turun padang menyantuni mereka yang memerlukan sebaik sahaja mendapat maklumat penerima zakat,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 4:15 PM