ANTARA lelaki yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Empat belas lelaki termasuk seorang warga Singapura dicekup Jabatan Imigresen dalam Ops Ikrar di kilometer 757.50 landasan kereta api Johor Bahru-Singapura di Tambak Johor di sini, kira-kira 4.30 pagi hari ini.

Mereka dicekup selepas cuba mengelak pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini untuk ke Singapura.

Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zulkifli  Abd Rahman bersama 55 penguatkuasa BSI.

Zulkfili berkata, operasi ditamatkan pada 8 pagi dan semua yang ditangkap ditahan di Unit Penguatkuasa BSI untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

"Jabatan Imigresen menasihatkan orang ramai yang berulang alik bekerja di Singapura hendaklah keluar masuk melalui pintu yang diwartakan dan jika didapati melanggar arahan dan peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan tegas selaras undang undang dibawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 11:46 AM