Basyar Mustapha mengajak pembaca kekal aktif dengan melakukan aktiviti berfaedah yang menyeronokkan sepanjang Ramadan.

Berpuasa sememangnya satu cabaran buat diri kita dan tidak semestinya ibadah puasa menjadi alasan untuk bersikap malas sepanjang bulan mulia ini.

Gen Y cadangkan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan sendiri atau bersama rakan atau keluarga sepanjang bulan ini untuk kekal aktif.

Kalendar amal

Ambil peluang berbuat baik sekerap yang boleh ketika Ramadan. Mulakannya dengan membuat kalendar amal. Kalendar amal adalah perancangan kita melakukan aktiviti mulia sepanjang tarikh ditetapkan misalnya selama lima hari, dua minggu, mahupun sepanjang bulan. Catatkan sasaran untuk berbuat baik kita di setiap hari dan lakukannya dengan bersemangat.

Senaman kardio

Senaman kardio atau senaman yang fokus kepada sistem kardiovaskular adalah senaman yang bagus untuk dilakukan semasa berpuasa. Pakar menasihatkan senaman ringan kardio seeloknya dilakukan sejam sebelum berbuka untuk badan kekal sihat dan cergas untuk keesokan harinya

Membaca

Semua pasti tahu membaca itu satu amalan berfaedah. Daripada tidur, lebih baik kita membaca buku terutama buku kisah nabi dan sahabat. Membaca tafsir al-Quran juga pasti menenangkan lagi perjalanan amalan puasa kita.

Masak

Jika tinggal bujang, apa kata masak sendiri juadah berbuka sekali-sekala. Ia lebih jimat dan lebih seronok dinikmati. Jika tinggal bersama keluarga, tolong ibu masak di dapur, Ibu kita pasti menghargainya walaupun kita hanya memotong sayur atau membuat air. Ibu tentu seronok ada yang menolongnya dan bukan hanya tidur sahaja menunggu makanan siap dihidang.

Bantu masjid

Setiap kali Ramadan surau dan masjid sibuk dengan pelbagai aktiviti. Jika berkelapangan terutama pada hujung minggu, kita boleh datang ke masjid lebih awal dan bantu ahli jawatankuasa dalam penyediaan majlis moreh. Jika tiada moreh di masjid dan surau terdekat, bantulah dalam penyediaan solat tarawih seperti membentang dan mengemas sejadah atau sebagainya. Pasti pahala berlipat ganda.

Jadi kreatif

Bina kreativiti diri dengan membuat kerja kraf yang boleh digunakan untuk menyambut bulan mulia ini dan Syawal. Pelita misalnya sinonim dengan sambutan tradisional masyarakat Melayu untuk malam tujuh likur, hujung Ramadan dan Aidilfitri. Pelita boleh dibuat menggunakan bahan terpakai seperti tin kosong dan sebagainya. Buat aktiviti kreatif ini dengan rakan atau keluarga pasti menyeronokkan dan tidak perlulah membelinya.

Selain itu, kita juga boleh membuat kad ucapan hari raya sendiri dan memberinya kepada rakan. Pada zaman kad raya sudah jarang diberi, menerima kad raya yang dibuat khas pasti menggembirakan dan dihargai penerimanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 10:10 AM